Singapura Tak Tanggung Kos Rawatan Individu Tolak Vaksin

Kos Rawatan Perlu Ditanggung Sendiri Bagi Individu Yang Tolak Vaksin Di Singapura

Kos Rawatan Perlu Ditanggung Sendiri Bagi Individu Yang Tolak Vaksin Di Singapura.

Pesakit COVID-19 yang tolak divaksin atas pilihan sendiri perlu menanggung kos perubatan apabila dimasukkan ke hospital atau mendapatkan rawatan disediakan bermula 8 Disember depan.

Pengumuman itu dibuat Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada Isnin selepas majoriti golongan tersebut kini memerlukan rawatan intensif yang turut memberi tekanan besar kepada sistem penjagaan kesihatan setelah lonjakan luar biasa kes jangkitan sejak beberapa minggu lalu.

Lapor Mediacorp, pemerintah menanggung bil perubatan sepenuhnya kepada semua penduduk Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka masa panjang serta individu yang disahkan positif sejurus pulang dari luar negara.

MOH memaklumkan undang-undang baharu itu akan dilaksanakan kepada semua pesakit COVID-19 yang layak menerima vaksin, namun memilih untuk tidak divaksinkan.

“Dalam masa sekarang, individu yang belum menerima suntikan vaksin adalah majoriti yang ditahan di unit rawatan rapi dan secara tidak langsung menyumbang kepada tekanan sumber penjagaan kesihatan negara,” katanya.

Difahamkan, bil perubatan bagi individu yang sudah divaksin satu dos akan ditanggung oleh pemerintah sehingga 31 Disember bagi memberikan mereka masa untuk menerima vaksinasi lengkap, menurut MOH.

Pesakit COVID-19 yang tidak divaksin atas pilihan mereka sendiri masih boleh memanfaatkan aturan pembiayaan jagaan kesihatan biasa untuk membayar bil perubatan mereka jika boleh.

Jururawat Muslim Singapura Pakai Tudung
Sumber: Berita Mediacorp

“Pendekatan khas ini akan terus dilakukan sehingga situasi Covid-19 menjadi stabil,” jelasnya sambil menambah individu tidak boleh mendapatkan vaksin kerana masalah tertentu termasuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun akan diberikan bantuan sama.

Terdahulu, Pensyarah kanan Jabatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat, pernah menyarankan individu menolak vaksin dan dimasukkan ke hospital akibat jangkitan COVID-19 perlu menanggung sepenuhnya kos rawatan dikenakan.

Dalam perkembangan lain, rakyat Malaysia yang lengkap vaksinasi boleh melancong ke Singapura tanpa perlu menjalani kurantin mulai 29 November ini.

Hanya perlu menjalani ujian saringan COVID-19 di bawah laluan perjalanan vaksinasi (VTL) antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sumber: Berita Mediacorp