Cawangan Pertama Jollibee Di Semenanjung Malaysia Bakal Dibuka 1

Cawangan Pertama Jollibee Di Semenanjung Malaysia Bakal Dibuka

Restoran makanan segera yang popular di Filipina, Jollibee dikatakan bakal membuka cawangan kedua mereka di Malaysia, iaitu di kawasan Semenanjung Malaysia.

Kali ini di kawasan Semenanjung Malaysia selepas cawangan pertama dibuka di Kota Kinabalu, Sabah pada 2018.

Dalam satu perkongsian hantaran di Instagram @kl.foodie, papan tanda restoran makanan segera ini dikesan dinaikkan di pusat beli belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, bersebelahan dengan restoran Seoul Garden.

Namun, setakat ini masih lagi tiada pemberitahuan mengenai tarikh pembukaan restoran Jollibee di Semenanjung Malaysia yang sebenar.

Pada tahun 2019, susulan sambutan yang menggalakkan, dilaporkan bahawa Jollibee merancang untuk membuka lebih kurang 100 buah cawangan di Malaysia; 50 buah di Semenanjung dan 50 buah lagi di Sabah dan Sarawak dalam tempoh masa 10 tahun.

Pada hari pembukaan cawangan pertama di Kota Kinabalu, lebih 1,000 orang pelanggan beratur di luar premis berkenaan.

Untuk pengetahuan anda, Jollibee pernah membuka cawangan mereka di Malaysia, namun ditutup disebabkan krisis kewangan yang melanda pada tahun 1997.

Bagaimana Jollibee Mampu ‘Takluk’ Pasaran Makanan Segera Di Filipina

Tahukah anda, biarpun cawangan restoran makanan segera McDonald’s sudah menghampiri 40,000 di dunia, di Filipina ianya kurang menjadi perhatian rakyat negara tersebut.

Sebaliknya, restoran makanan segera keluaran anak tempatan Filipina iaitu Jollibee yang mendapat tempat dan perhatian sejak dari ianya mula dibuka pada 1987 sehinggalah sekarang.

Walaupun McDonald’s memasuki pasaran Filipina, namun bilangan cawangan mereka hanya lebih kurang separuh daripada bilangan cawangan Jollibee.

Bagaimana Jollibee berjaya takluk pasaran makanan segera Filipina?

1. Jauh lebih murah

Jollibee menawarkan harga jauh lebih rendah daripada rangkaian restoran segera yang lain. Malah perbezaan ini dapat dilihat sejak mula-mula McDonald’s memasuki pasaran Filipina lagi.

2. Cita rasa rakyat tempatan

Kekuatan Jollibee adalah mereka bijak menarik pelanggan dengan memenuhi cita rasa tempatan. Walaupun sebilangan orang FIlipina menyukai makanan barat, namun sebenarnya hidangan mereka rasanya lebih manis.

3. Tagline

Selain daripada bijak menggunakan cita rasa tempatan, Jollibee juga bijak menggunakan tagline yang mampu menarik pelanggan mereka untuk ‘melihat’ menu.

Tagline ‘Langhap-Sarap’ yang membawa maksud berbau sangat sedap seakan menarik pelanggan untuk datang dan mengambil bau seterusnya membeli produk mereka.

4. Golongan sasaran

Di Filipina, masalah kemiskinan bukanlah sesuatu yang baru. Malah di bandar Manila sendiri adanya kawasan setinggan terbesar yang didiami oleh 200,000 orang kanak-kanak. Belum lagi dicampur bilangan orang dewasa di sana.

Cakna dengan isu tersebut yang mana sebahagian besar rakyatnya berpendapatan rendah, Jollibee menyasarkan harga hidangan mereka bersesuaian dengan pendapatan kumpulan ini.

5. Budaya

Menggunakan maskot lebah kuning dan merah lengkap dengan seragam blazer serta topi cef, Jollibee secara tidak langsung memberi lambang kepada semangat rakyat Filipina yang sentiasa sibuk namun tetap ceria.

Mengorientasikan konsep kekeluargaan, nilai-nilai budaya ini sentiasa dimasukkan ke dalam ikaln-iklan mereka.

Baca lanjut di: Bagaimana Jollibee Mampu ‘Takluk’ Pasaran Makanan Segera Di Filipina Berbanding McDonald’s?