plus rfid

PLUS Memperkenalkan Tol RFID Bersama Sistem Pengecaman Nombor Plat Automatik

Plus Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan bahawa mereka akan menggunakan tol RFID bersama dengan sistem pengecaman nombor plat automatik, Automated Number Plate Recognition (ANPR) di lebuh raya dibawah selian mereka. Ini merupakan inisiatif langkah pertama ke arah pengalaman tol tanpa palang serta lorong aliran bebas berbilang lorong, multi-lane free-flow (MLFF) pada masa hadapan.

Sistem ini akan mula digunakan di laluan Hutan Kampung – Sungai Dua pada hari Ahad, 31 Oktober 2021. Menurut PLUS, pelaksanaan ini membolehkan ramai pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang lebih lancar, tanpa sentuhan dan juga nirtunai. Ia juga menandakan berakhirnya ujian secara awam yang telah dilaksanakan pada Julai 2020.

Menurut PLUS lagi, RFID dengan sistem pengecaman plat nombor telah dipertingkatkan untuk membolehkan pelanggan melalui lorong itu dengan selamat dan lancar tanpa gangguan pada kelajuan 30 km/j berbanding SmarTAG (20 km/j).

RFID juga memberikan pengguna lebuh raya pengalaman nirtunai kerana pembayaran ditolak terus daripada akaun eWallet Touch ‘n Go. Pengguna juga boleh membuat penambahan nilai secara automatik kepada eWallet untuk mengekalkan baki yang mencukupi pada setiap masa. Harga bagi teg RFID hanyalah pada kadar RM35 dan anda boleh memesan kit kelengkapan diri dalam talian.

plus rfid 1

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, RFID dengan sistem ANPR dan Pusat Pengesahan Tol (TVC) dikuasakan oleh Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence) dan pembelajaran mesin (machine learning) adalah yang pertama untuk industri lebuh raya Malaysia. Dilengkapi dengan kamera resolusi tinggi untuk kedua-dua lorong masuk dan keluar, sistem ini akan membolehkan semua pelanggan RFID sentiasa melalui lorong tol dengan lancar.

Beliau menambah bahawa sistem ANPR dan TVC akan dapat mengesan, menganalisis dan menyelesaikan isu pelanggan RFID yang biasa berlaku secara automatik di bahagian sistem tanpa mengganggu pengalaman perjalanan pelanggan di lorong.

Datuk Azman juga berkata, penggunaan RFID di Hutan Kampung – Sungai Dua ketika ini adalah yang tertinggi di kalangan semua lebuh raya bertol dan ia dijangka meningkat sehingga 30% dalam beberapa bulan akan datang. PLUS juga bekerjasama dengan kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang untuk membawa RFID kepada pelanggan mereka bagi memberikan pengalaman unggul dengan lorong RFID.

PLUS dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Touch ‘n Go sedang berusaha untuk meluaskan akses kepada pembayaran tol RFID di semua lebuh rayanya dari Juru ke Skudai pada awal tahun 2022.

plus rfid 2

Walaupun sistem RFID yang dipertingkatkan membolehkan kereta memandu pada kelajuan yang lebih pantas berbanding lorong SmartTAG, ia masih mempunyai halangan pada masa ini. RFID dengan lorong ANPR masih dilengkapi dengan penghalang boom jadi anda masih perlu memperlahankan kenderaan semasa melaluinya.

Untuk mencapai pengalaman MLFF, pengecaman nombor plat adalah penting untuk menangkap gambaran nombor plat kenderaan yang tidak menggunakan RFID. Ini mungkin satu cabaran untuk mengenali kenderaan yang menggunakan nombor plat tidak standard dan sesetengahnya sukar untuk ditafsirkan oleh manusia.

Sumber: Soya Cincau