14 Tahun Berlalu Kes Nurin Jazlin

14 Tahun Sudah Berlalu, Bapa Nurin Jazlin Masih Menanti Keadilan Kes Anaknya

Bapa Nurin Jazlin Masih Menanti Keadilan Kes Anaknya.

Setiap kali berlaku kejadian jenayah melibatkan kanak-kanak, kisah pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia sudah pasti masih segar dalam ingatan.

Namun setelah 14 tahun berlalu, suspek yang membunuh kanak-kanak berusia lapan tahun itu masih belum dapat diberkas walaupun telah pihak berkuasa menubuhkan pasukan penyiasatan khas bagi membantu usaha memburu pada ketika itu.

Terbaharu, bapanya Jazimin Abdul Jalil memuat naik hantaran di Facebook meluahkan pandangannya mengenai kes berkenaan.

“Bila la pihak berwajib nak selesaikan kes Nurin Jazlin, di mana keadilannya bertahun-tahun lamanya saya menunggu dan menanti.

“Keadilan untuk Nurin Jazlin masih tidak ada apa-apa berita.

“Adakah kerana bapanya bukan VVIP?”

Tambahnya, dia amat berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan kes Nurin dengan segera.

“Saya nak kan keadilan untuk anak saya,” katanya.

Hantaran itu mendapat perhatian ramai, rata-ratanya menitipkan doa supaya kes berkenaan dapat diselesaikan dengan segera.

14 Tahun Berlalu Kes Nurin Jazlin

Tetap pendirian itu bukan anaknya

Bagaimanapun, Jazimin menyatakan dirinya masih berpendirian penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan berkeadaan tragis itu bukanlah anaknya.

Memberitahu kepada Harian Metro, dia masih mengingati pengecaman fizikal yang dilakukan terhadap mayat kanak-kanak berkenaan berlainan dengan ciri-ciri pada anaknya.

“Dari dahulu lagi saya menafikan bahawa kanak-kanak itu Nurin Jazlin seperti kenyataan yang diulangi sebelum ini. Waktu itu saya perlu lunaskan fardu kifayah terhadap jenazah kanak-kanak berkenaan untuk dikebumikan.

“Jenazah kanak-kanak itu ada tahi lalat hidup di paha yang hakikatnya tidak ada pada anak saya. Begitu juga dengan saiz gigi jenazah yang lebih besar berbanding Nurin Jazlin,” katanya.

Dia juga mempertikaikan hasil pemadanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang didakwa sah mayat kanak-kanak terbabit adalah Nurin Jazlin berikutan keputusan diperoleh terlalu cepat.

Pernah meminta untuk melakukan ujian DNA sekali lagi namun terpaksa dibatalkan apabila pihak berkuasa memberitahu ia akan menyebabkan jenazah lebih lama di peti mayat.

Tambahnya, dia ada membuat laporan polis pada Jun lalu selepas mendapat petunjuk lain daripada seorang individu warga Indonesia berhubung suspek kes Nurin Jazlin, tetapi masih belum dapat reaksi positif.

14 Tahun Berlalu Kes Nurin Jazlin

Menurutnya, berdasarkan maklumat terbaru itu, seorang lelaki Indonesia yang bekerja dalam bidang perkapalan dikatakan menculik Nurin Jazlin dan anaknya itu sudah dibawa ke negara jiran berkenaan.

Justeru, Jazimin meminta kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi melakukan siasatan semuala kes Nurin Jazlin demi mencari keadilan.

Dia memberitahu walaupun berat mengakui mayat ditemui 14 tahun lalu itu adalah Nurin Jazlin namun sekurang-kurangnya ada pusara untuk diziarahi daripada hilang begitu sahaja.

Sementara itu, PDRM mengatakan siasatan untuk kes itu masih aktif dan diteruskan hingga kini.

Nurin Jazlin yang dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos 2007 dikatakan dilarikan oleh seorang lelaki menaiki sebuah van putih.

Hampir sebulan selepas kehilangannya iaitu pada 17 September 2007, polis menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan di dalam beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor sebelum keputusan ujian DNA mengesahkan mangsa adalah Nurin Jazlin.