Terpedaya Skim Pelaburan Wang Kripto Guna PTPTN

Sanggup Guna Duit PTPTN, 50 Pelajar IPTA Terpedaya Skim Pelaburan Mata Wang Kripto

Penggunaan mata wang kripto kini hangat diperkatakan orang kerana ada pihak yang mendakwa telah menjadi kaya selepas membelinya pada waktu mula-mula ia diperkenalkan.

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain emas, skim penipuan yang hangat di Malaysia termasuklah pelaburan mata wang digital, forex dan skim cepat kaya yang masih lagi menular.

Terbaharu, lebih 50 penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kota Bharu, Kelantan terpaksa menanggung kerugian angkara terpedaya dengan skim cepat kaya pelaburan mata wang kripto.

Memetik laporan Berita Harian, kerugian tersebut lebih RM200,000 apabila masing-masing membuat pelaburan antara RM1,000 hingga lebih RM10,000.

Tindakan PDRM Lupus Mesin Bitcoin Dengan Jentera Penggelek Curi Perhatian Dunia 2

Guna wang PTPTN

Mereka yang terpedaya ini sanggup menggunakan wang simpanan dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas gelap mata mengaut keuntungan melebihi satu peratus sehari dan 30 peratus sebulan itu.

Salah seorang penuntut yang berusia 21 tahun menjadi mangsa skim itu berkata, dia mula memasuki pelaburan membeli mata wang kripto apabila seorang pensyarahnya yang juga membuat iklan di dalam kumpulan WhatsApp pada Jun lalu.

Katanya, dia mula memasukkan wang RM138 lebih 10 kali ke lima akaun berbeza sehingga mengalami kerugian keseluruhan hampir RM3,900.

“Lebih malang, saya mengajak adik membuat pelaburan dengan jumlah RM2,800 kerana percaya pelaburan itu memberi keuntungan selepas melihat akaun saya bertambah menjadi lebih RM9,000 namun tidak sempat untuk mengambilnya.”

“Pada 18 Oktober lalu, akaun pelaburan saya tidak dapat dibuka dan saya serta rakan lain menyedari kami ditipu sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu, Khamis lalu,” katanya.

Terpaksa catu makanan

Angkara penipuan skim pelaburan itu telah membuatkan dirinya buntu dan berasa tertekan kerana tidak mendapatkan keuntungan, malah wang modal lebur menyebabkan tiada wang untuk membeli makanan.

Dia terpaksa mencatu untuk perbelanjaan makan dan mengharapkan ihsan rakan selain tidak memberitahu ibu bapa kerana bimbang dimarahi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan menyelidik terlebih dahulu sebelum melabur bagi mengelakkan kerugian.

Seperti yang dinyatakan oleh Pakar Keselamatan Siber, Fong Choong Fook, kebanyakan kes penipuan di negara ini biasanya menggunakan nama kripto untuk mengumpul wang daripada orang awam.

Menurutnya, kes penipuan membabitkan mata wang kripto juga terjadi disebabkan masyarakat kurang memahami urus niaga tersebut.

BACA: Tindakan Tegas PDRM Lupus Mesin Bitcoin Dengan Jentera Penggelek Curi Perhatian Dunia

Sumber: BH