Pandelela Dedah Jurulatih Gurauan Lucah

Pandelela Dedah Jurulatih Gemar Buat Gurauan Lucah Terpalit Kes Rogol

Isu berkaitan gurauan lucah dan rogol kembali menular selepas ia menjadi topik hangat netizen membabitkan golongan artis baru-baru ini.

Ini jelas menunjukkan budaya tersebut masih berakar umbi dalam kalangan masyarakat kita.

Tidak terkecuali perkara seperti itu turut dirasai oleh sebahagian atlet dan ia turut menarik perhatian ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong yang berkongsi pengalamannya apabila terpaksa berhadapan dengan jurulatih yang sering membuat gurauan lucah terhadap rakan atlet.

Menerusi ciapan di laman Twitter, Pandelela berkata, setiap kali perkara itu berlaku beliau akan mengambil sikap berdiam atau pun ketawa secara dibuat-buat kerana takut kepada jurulatih tersebut.

Malah, katanya, beliau pernah menegur perbuatan gurauan lucah itu namun berakhir dengan dirinya dibuli.

“Dulu saya ada seorang coach ni suka buat lawak lucah, saya buat diam je tak pun fake laugh sebab takut dia. Pernah sekali tak tahan saya tegur dia, tapi kena buli balik. Tujuh tahun kemudian dia buat kes rogol,” tulisnya.

Menerusi tandapagar #rapejokeisnotfunny beliau menyambung perkongsiannya itu mengesali tindakan tidak bermoral jurulatih terbabit itu dilindungi oleh ketua jurulatihnya sehingga perbuatannya semakin menjadi-jadi.

apa yang patut buat jika kanak kanak mengadu mengalami gangguan seksual 3

“Tapi paling sedih dalam tujuh tahun tu dia buat hal setiap tahun. Tapi kami atlet tak boleh buat apa, sebab backup besar dia adalah head coach kami sendiri.”

Bagaimanapun, beliau dan rakan-rakannya bernasib baik kerana dilindungi oleh persatuan sukan mereka.

Pandelela menambah, pengajaran daripada apa yang terjadi adalah kita memerlukan pemimpin yang bagus yang boleh membetulkan apa yang salah bukannya mereka yang memejamkan mata apabila berlaku kejahatan.

Beliau turut menasihatkan mereka yang sering berhadapan masalah lawak lucah supaya tampil bersuara kerana hanya dengan bersatu perkara seperti itu dapat ditangani.

Katanya, pendedahan itu adalah kisah lama sambil menyatakan Khairy Jamaluddin yang pada ketika itu merupakan Menteri Belia dan Sukan membantu mereka dalam situasi berkenaan.

Khairy yang kini merupakan Menteri Kesihatan turut membalas ciapan ini dengan menyatakan penghargaan kepada Pandelela kerana menyuarakan masalah dihadapi mereka.

Pada 10 Oktober 2017, negara dikejutkan dengan berita jurulatih pasukan terjun kebangsaan, Huang Qiang, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol seorang atlet terjun kebangsaan wanita berusia 20 tahun di Kompleks Akuatik Sukan Negara, Bukit Jalil pada September tahun yang sama.

Rogol adalah perkara keji dan tidak bermoral, sememangnya tidak patut dijadikan bahan lawak. Rogol adalah satu tindakan menzalimi orang yang bukan hanya memberi kesan negatif kepada mangsa tetapi juga keluarga mangsa.