Berjaya Pemindahan Buah Pinggang Babi Ke Manusia

Pakar Bedah Berjaya Buat Pemindahan Buah Pinggang Babi Ke Tubuh Manusia Buat Pertama Kali

Pertama Kali Berjaya Buat Pemindahan Buah Pinggang Babi Ke Tubuh Manusia.

Biasanya kita mendengar pemindahan organ berlainan spesies dalam fiksyen sains dan beberapa tahun belakangan ini pihak saintis cuba menjadikannya realiti bagi mengakhiri masalah pesakit yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk organ yang sesuai.

Penyelesaian masalah ini dilihat menghampiri realiti apabila pakar bedah Amerika Syarikat mendakwa berjaya melakukan pemindahan buah pinggang daripada babi ke tubuh manusia.

Ia kejayaan transplantasi buat pertama kali dilakukan tanpa menimbulkan reaksi penolakan segera oleh sistem imun penerima.

Ubah suai genetik babi sebelum buat prosedur pemindahan

Memetik laporan Reuters, prosedur tersebut dilakukan di NYU Langone Health, melibatkan pengubahsuaian gen babi bagi memastikan sel tisu haiwan itu tidak mengandungi molekul yang berpotensi menyebabkan penolakan segera.

Menurut para penyelidik, keluarga penerima, yang merupakan pesakit mati otak dan mengalami tanda-tanda kerosakan buah pinggang telah bersetuju menjalankan eksperimen tersebut.

Ketua kajian, Dr Robert Montgomery memberitahu buah pinggang baharu itu dilekatkan selama tiga hari pada saluran darah dan berada di luar tubuh badan pesakit bagi memberikan akses kepada para penyelidik.

Beliau mendakwa, hasil ujian terhadap fungsi buah pinggang yang dipindahkan menunjukkan ia “berfungsi seperti biasa”.

Berjaya Pemindahan Buah Pinggang Babi Ke Manusia
Sumber: Reuters

“Buah pinggang menghasilkan jumlah air kencing yang diharapkan daripada pemindahan buah pinggang manusia.

“Tidak ada bukti penolakan awal ketika buah pinggang babi yang diubah dipindahkan ke primat bukan manusia,” kata Robert.

Ujarnya, para penyelidik turut bekerjasama dengan pakar etika perubatan, undang-undang dan keagamaan untuk memeriksa konsep pemindahan buah pinggang babi sebelum meminta kebenaran keluarga bagi akses sementara kepada pesakit yang mati otak.

Para penyelidik telah berusaha sejak beberapa dekad bagi mengkaji kemungkinan menggunakan organ haiwan untuk pemindahan, bagaimanapun gagal untuk mencegah penolakan segera oleh tubuh manusia.

Buah pinggang babi dikatakan dapat dipindahkan ke tubuh manusia dan memberikan hasil yang lebih baik berbanding pemindahan organ daripada kera dan monyet.

Sumber: CNN