Mehran nasseri

‘The Terminal’ Kini Di Netflix, Inspirasi Daripada Kisah Benar Lelaki Yang Habiskan Hidup 18 Tahun Di Lapangan Terbang

Filem lakonan Tom Hanks, The Terminal yang diinspirasikan daripada kisah lelaki yang tinggal di lapangan terbang selama 18 tahun kini boleh anda tonton di Netflix.

BACA: Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Ukraine Pecah Tradisi, Benarkan Pramugari Pakai ‘Pantsuit’

Membawa plot yang diinspirasikan daripada kisah benar, The Terminal yang ditayangkan pada tahun 2004 mengisahkan mengenai seorang lelaki, Viktor Navorski dari negara fiksyen, Krakozhia yang terperangkap di Lapangan Terbang John F. Kennedy, New York selepas mengetahui bahawa pasportnya tidak sah.

‘The Terminal’ Kini Di Netflix, Inspirasi Daripada Kisah Benar Lelaki Yang Habiskan Hidup 18 Tahun Di Lapangan Terbang 1

Amerika Syarikat tidak mengiktiraf pemerintahan baru Krakozhia setelah rampasan kuasa tentera menjatuhkan negara berkenaan dalam perang saudara.

Viktor tidak dibenarkan pulang ke negaranya atau masuk ke Amerika Syarikat menyebabkan beliau terpaksa hidup di lapangan terbang sementara menunggu masalahnya diselesaikan.

Kisah Mehran Karimi Nasseri

Juga dikenali sebagai Sir Alfred Mehran, beliau merupakan seorang pelarian Iran yang tinggal di ruang berlepas Terminal Satu di Lapangan Terbang Charles de Gaulle dari 26 Ogos 1988 hingga Julai 2006.

Beliau yang merupakan anak kepada doktor dan jururawat ini telah menyambung pengajian di Universiti Bradford selama tiga tahun sebelum kembali ke negara asalnya untuk menyertai gerakan revolusi menentang Raja Iran pada ketika itu, Mohammad Reza Shah.

Disebabkan itu, beliau diusir keluar pada tahun 1977 dan mendapat status pelarian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta diberi kebebasan untuk pergi ke semua negara Eropah.

Memilih London sebagai lokasi bermastautin pada tahun 1986, nasib Nasseri tidak berapa baik kerana segala dokumen penting beliau hilang semasa perjalanan pada tahun 1988. Ada yang mendakwa Nasseri sebenarnya menghantar semula dokumennya ke Brussels semasa berada dalam feri ke England.

Nasseri dihantar semula ke Paris dan dilepaskan secara bersyarat dengan diberi kebenaran untuk tinggal di Lapangan Terbang Paris sehinggalah beliau berjaya mendapatkan semula dokumen yang hilang.

‘The Terminal’ Kini Di Netflix, Inspirasi Daripada Kisah Benar Lelaki Yang Habiskan Hidup 18 Tahun Di Lapangan Terbang
Sumber: Wikipedia

Tahun demi tahun, lapangan terbang menjadi rumahnya dan hampir 20 tahun kemudian, iaitu pada 1992, seorang peguam hak asasi manusia, Christian Bourget membantu Mehran menyelesaikan perkara tersebut.

Biarpun sudah dibicarakan di mahkamah, Nasseri tetap tidak dibenarkan untuk memasuki Perancis dan tidak boleh dibawa keluar dari lapangan terbang.

Sebenarnya, Nasseri sudah pun diberikan beberapa peluang untuk keluar dari sana.

Antaranya pada tahun 1995, pihak berkuasa Belgium memberikan izin untuk beliau masuk ke Belgium, tetapi dengan persetujuan tinggal di sana dengan pengawasan seorang pekerja sosial.

Namun ditolak kerana Nasseri mahu memasuki UK. Sama juga seperti tawaran yang diberikan pihak Perancis, hanya kerana beliau nanti akan disenaraikan sebagai orang Iran dan bukannya orang Inggeris.

Keputusan Nasseri jelas mengecewakan Bourget. Tetapi keluarga Mehran berkata mereka percaya dengan kehidupan yang beliau mahukan.

Pada tahun 2003, produksi DreamWorks membayar sejumlah $250,000 untuk hak menggunakan ceritanya bagi filem The Terminal, namun akhirnya kisah ini hanya dijadikan inspirasi sahaja.

Pada tahun sama juga, autobiografinya diterbitkan.

Pada Julai 2006, kehidupan Nasseri di lapangan terbang berkahir selepas beliau dimasukkan ke hospital. ‘Rumahnya’ di lapangan terbang dibongkar.

Dan pada akhir Januari 2007, Nasseri keluar dari hospital dan dihantar ke rumah perlindungan di Paris pada Mac tahun sama.

‘The Terminal’ Kini Di Netflix, Inspirasi Daripada Kisah Benar Lelaki Yang Habiskan Hidup 18 Tahun Di Lapangan Terbang
Sumber: Wikipedia

Sepanjang berada di lapangan terbang, Nasseri disifatkan kakitangan sebagai seorang yang sangat pembersih, merendah diri, rajin membaca dan ramah dengan orang sekeliling.

Menerima makanan hasil ihsan kakitangan dan pengunjung, Nasseri bagaimanapun tidak pernah meminta atau menerima wang serta pakaian yang diberikan kepadanya.