Korea Utara Squid Game

Media Korea Utara Sebut ‘Squid Game’ Adalah Bukti Masyarakat Korea Selatan ‘Teruk’

Squid Game kini menjadi siri Netflix yang paling popular hingga menarik 111 juta penonton yang merangkumi lebih 80 negara sejak ditayangkan kurang empat minggu yang lalu.

Kejayaan siri Squid Game menguatkan pengaruh Korea Selatan yang semakin besar terhadap budaya popular global antaranya menerusi kumpulan K-pop, BTS dan filem terbaik Oscar, Parasite.

Bagaimanapun, ada sebuah negara yang ‘tidak senang’ dengan kejayaan siri ini kerana ia hasil daripada negara jirannya.

Umum mengetahui bahawa Korea Utara amat melarang rakyatnya menonton segala hiburan yang dibawakan oleh Korea Selatan sehinggakan jika ada yang tertangkap boleh dikenakan hukuman denda penjara atau mati.

BACA: Lebih 10,000 Pelajar Korea Utara Serah Diri Atas Kesalahan Tonton K-Drama

Terkini, laman web propaganda Korea Utara mengatakan siri yang popular di seluruh dunia itu adalah mencerminkan realiti budaya kapitalis Korea Selatan.

Aksi ganas, individu tidak bermoral dan rasuah yang dipaparkan dalam siri terbabit didakwa perkara biasa di Korea Selatan.

Korea Utara Squid Game

Laman web Arirang Meari Korea Utara mengkritik dengan menyatakan bahawa rancangan bersiri itu memaparkan ‘masyarakat tidak sama rata, apabila orang yang tidak berwang dilayan seperti buah catur untuk golongan kaya’.

“(Rancangan itu) membuatkan orang ramai menyedari realiti menyedihkan masyarakat Korea Selatan, di mana manusia sanggup memasuki pertandingan ekstrem seterusnya nilai kemanusiaan terhapus,” kata artikel itu.

Tambahnya, alasan Squid Game menjadi amat popular kerana ia sesuai dengan realiti Korea Selatan seperti persaingan sengit untuk mempertahankan hidup dengan apa cara pun.

Dalam pada pemimpinnya Kim Jong-un meningkatkan perang terhadap pengaruh luar, beliau juga menggesa hiburan tempatan yang lebih baik.

Budaya Korea Selatan kerap dikecam Korea Utara. Pada Mac, Arirang Meari berkata bintang K-pop dilayan seperti hamba oleh syarikat besar dan menjalani kehidupan menyedihkan di Korea Selatan.

Pada Februari 2020, akhbar pro-Korea Utara di Jepun memuji filem Parasite keluaran Korea Selatan kerana jelas mendedahkan realiti jurang antara golongan miskin dan kaya di negara itu.

Sumber: Reuters