Syed Saddiq Cadang Mansuh Subjek IPT Tempoh Pengajian Lama

Tempoh Pengajian Di Malaysia Ambil Masa Lama, Syed Saddiq Cadang Mansuhkan Subjek Wajib IPT

Tempoh pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) berbeza mengikut kursus yang diambil.

Untuk menyatakan tempoh pengajian sebenar sememangnya tidak tepat kerana ada pengajian yang memaka masa lama mengikut jam kredit subjek yang diambil. Semakin banyak jam kredit subjek yang diambil, semakin lama untuk menamatkan pengajian tersebut.

Di Malaysia, graduan mengambil tempoh masa paling maksimum lima hingga enam tahun (mengikut kursus tertentu) untuk menamatkan pengajian.

Isu ini dibentangkan dalam parlimen baru-baru ini oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Beliau mempersoalkan tempoh masa lama untuk graduan di Malaysia menamatkan pengajian sedangkan di negara luar seperti UK dan Australia hanya mengambil masa tiga ke empat tahun sahaja.

Menurutnya, tempoh pengajian lama di sini adalah disebabkan para graduan perlu mengambil subjek-subjek wajib seperti Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS), Hubungan Etnik, Etika dan Peradaban.

“Saya nak tekankan berkenaan situasi di universiti. Di negara-negara luar kamu hanya perlukan tiga hingga empat tahun untuk dapat ijazah.

“Tetapi di Malaysia, dua tahun Asasi, paling pendek pun setahun dan selepas itu tambah lagi empat tahun. Anda perlukan enam hingga tujuh tahun untuk dapatkan degree.

“Itu tempoh masa yang lama. Kenapa lama? Kerana kamu perlu mengambil subjek-subjek mandatori seperti TITAS, Hubungan Etnik, Falsafah, Etika dan Peradaban. Saya ingin mencadangkan untuk pendekkan tempoh pengajian ini,” katanya.

Ujarnya, tempoh pengajian perlu dipendekkan kerana graduan di Malaysia perlu bersaing dengan graduan dari luar negara yang awal dua tahun memasuki alam pekerjaan.

Pada usia muda, graduan luar negara sudah mempunyai pengalaman bekerja yang cukup berbanding graduan di sini yang baru menamatkan pengajian.

Ciapan yang dimuat naik Syed Saddiq mendapat perhatian netizen yang mana rata-ratanya turut bersetuju atas cadangan untuk memansuhkan subjek wajib IPT.

“Gugurkan subjek-subjek yang tak perlu atau hanya berkaitan dengan bidang yang dipelajari. Semua universiti perlu bagi pelajar diploma transfer kredit jika dalam bidang sama.”

“Tempoh belajar program ijazah sarjana muda universiti luar negara dan malaysia majoritinya sama iaitu 3 atau 4 tahun. Cuma syarat untuk masuk ke program ijazah sarjana muda yang membuatkan tempoh lama iaitu program STPM, matrikulasi dan asasi.”

“Saya sedang mengambil master di Korea Selatan. Kawan saya dari Kazakhstan berumur 21 tahun sedang mengambil master seperti saya. Sedangkan umur saya ketika itu baru sahaja ambil degree.”

Graduan UKM Tunduk Hormat Ibu Bapa Pensyarah

 

Namun, ada juga yang merasakan subjek-subjek berkenaan bukanlah isu sebenar tetapi perlu dinilai aspek pengajian sejak dari sekolah lagi.

“Bagi saya tiada masalah berkenaan tempoh masa pengajian untuk habiskan pengajian di universiti dalam malaysia.

“Masalah terletak di sekolah rendah dan menengah. Minta mansuhkan pembelajaran mengikut kohort umur. Kita belajar mengikut kemampuan bukan umur.”

Ada juga yang mengatakan jika dipendekkan tempoh pengajian, ia turut mengurangkan yuran pengajian sekali gus mengurangkan beban pelajar yang membuat pinjaman pelajaran.

Apa komen anda mengenai isu ini?

BACA: Dilema Pilih Bidang Pengajian? Ini Senarai Pekerjaan ‘Hot Demand’ Pada Masa Kini