Facebook To Detail Updates To News Feed At Press Event

6 Jam Aplikasi Tiga Serangkai Alami Gangguan, Mark Zuckerberg Rugi Lebih RM25 Bilion

6 Jam Aplikasi Tiga Serangkai Alami Gangguan, Mark Zuckerberg Rugi Lebih RM25 Bilion.

Pada malam Isnin, ribuan pengguna media sosial kecoh apabila aplikasi tiga serangkai, WhatsApp, Facebook dan Instagram yang dimiliki Facebook Inc mengalami gangguan sehingga gagal diakses hampir enam jam secara tiba-tiba.

Gangguan tersebut disifatkan sebagai gangguan terbesar yang pernah disaksikan, dengan 10.6 juta aduan masalah dilaporkan seantero dunia oleh kumpulan pemantau laman web, Downdetector.

Menurut laporan, gangguan itu juga merupakan tamparan kedua kepada gergasi media sosial itu dalam masa dua hari selepas seorang pengadu pada Ahad menuduh syarikat tersebut berulang kali mengutamakan keuntungan daripada membanteras ucapan yang berbaur kebencian dan menyebarkan maklumat yang salah.

Mark Zuckerberg Rugi Facebook Alami Gangguan
Sumber: TechNave

Akibat gangguan tersebut, kekayaan peribadi Mark Zuckerberg susut lebih daripada AS$6 bilion (RM25 bilion) yang menyebabkan kedudukannya dalam senarai manusia terkaya di dunia jatuh satu anak tangga.

Penjualan saham Facebook Inc secara besar-besaran menyebabkan ia jatuh 4.9 peratus, tambahan pada kemerosotan sebanyak 15 peratus dialami syarikat itu sejak pertengahan September.

Kejatuhan harga saham menyebabkan kekayaan Zuckerberg merosot pada AS$121.6 bilion, di bawah Bill Gates dalam senarai Indeks Jutawan Bloomberg.

Menurut para pakar keselamatan, gangguan itu mungkin disebabkan oleh kesilapan dalaman, namun perbuatan khianat oleh orang dalam secara teorinya juga merupakan satu kemungkinan.

Facebook mengakui bahawa para pengguna mengalami masalah untuk mengakses aplikasinya namun tidak memberikan perincian mengenai ciri-ciri masalah tersebut atau berapa ramai yang terjejas oleh gangguan tersebut.

“Maaf atas gangguan yang berlaku hari ini — Saya tahu bagaimana anda bergantung kepada perkhidmatan kami untuk berhubungan bersama mereka yang anda sayangi,” kata Mark Zuckerberg dalam satu kenyataan.

Untuk makluman, Facebook pernah mengalami gangguan serupa pada rangkaian aplikasinya tahun ini pada Mac dan Julai.

BACA: Mark Zuckerberg, CEO Yang Dibayar Paling Mahal Untuk Kawalan Keselamatan

Sumber: Mediacorp