Perdana Menteri Jepun Peminat Demon Slayer

Akui Peminat ‘Demon Slayer’, Perdana Menteri Baharu Jepun Janji Bantu Majukan Industri Anime

Populariti anime Demon Slayer (Kimetsu no Yaiba) mencanak naik selepas filem sekuelnya, Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba the Movie: Mugen Train memecah rekod sebagai filem terlaris di Jepun.

Anime mengisahkan tentang kehidupan seorang remaja bernama Tanjiro yang berubah selepas keluarganya dibunuh puaka juga mengumpul ramai peminat termasuklah Perdana Menteri Jepun baharu, Fumio Kishida.

Pada 4 Oktober 2021, Kishida dari Parti Liberal Demokratik (LDP) dipilih sebagai Perdana Menteri baharu yang ke-100 menggantikan Yoshihide Suga yang meletakkan jawatan di tengah-tengah kritikan terhadap tindak balas beliau dalam mengendalikan pandemik.

Selain ditugaskan untuk mencegah lonjakan kes COVID-19, Kishida juga berjanji untuk memajukan industri anime dan manga (komik Jepun).

Ia selepas seorang wartawan bertanya kepada Kishida sama ada pernah menonton filem Demon Slayer yang disiarkan di seluruh Jepun pada waktu itu sehingga berjaya meraih kutipan 30.3 bilion yen (RM1.17 bilion).

Walaupun belum menonton siri anime berkenaan, Kishida bagaimanapun mengakui sudah membaca ke semua jilid karya Koyoharu Gotouge dan menyatakan karakter kegemarannya ialah Akaza.

Kishida mengatakan bahawa beliau akan berusaha untuk meningkatkan pendapatan kepada mereka yang terlibat dalam industri yang dianggap sebagai simbol kuasa lunak (soft power) negara matahari terbit itu seperti anime, manga dan filem.

Perdana Menteri Jepun Peminat Demon Slayer
Sumber: Sky News

Anime dan manga telah lama menjadi sebahagian daripada budaya Jepun, namun realiti dalam industri ini sangat tidak sihat dengan para pelukis komik yang perlu bekerja sangat teruk tetapi menerima gaji rendah.

Jadi, kenyataan Kishida ini pastinya mendapat perhatian daripada pekerja di dalam industri berkenaan dan para peminat. Cumanya, mampukah Kishida menunaikan janjinya untuk membawa perubahan dalam industri anime yang begitu rumit permasalahannya?

BACA: Bagaimana ‘One Piece’ Berjaya Bantu Dalam Menaikkan Ekonomi Jepun?

Sumber: Comic Book, Yahoo! News Japan