Pelekat Lesen P JPJ Dijual Di Taobao China

Pelekat ‘P’ JPJ Jadi Buruan Pembeli Di Laman E-dagang China? Dijual Pada Harga RM18.77 Sekeping

Pelekat ‘P’ JPJ Jadi Buruan Pembeli Di Laman E-dagang China? Dijual Pada Harga RM18.77 Sekeping.

Selepas lulus menempuhi perjalanan ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lesen P akan diberikan kepada pemandu baharu dan tempoh sah laku adalah 2 tahun.

Dalam tempoh lesen percubaan itu, pemandu pula digalakkan mempamerkan pelekat ‘P’ pada kenderaan yang dibawa.

Namun, tidak disangka-sangka pelekat ‘P’ ini sedang hangat dijual di laman e-dagang dari China, Taobao.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan Takeshi Kaneshiro memuat naik tangkap layar yang memaparkan penjualan pelekat ‘P’ dengan logo JPJ di laman tersebut. Turut ditulis pelekat ‘P’ itu dijual pada harga USD 4.49 (RM18.77) sekeping.

Dikatakan pelekat ‘P’ berkenaan menjadi ‘buruan’ peminat yang mungkin tersalah anggap dengan pelekat JDM (Model Domestik Jepun) seperti yang diiklankan.

Pelekat Lesen P JPJ Dijual Di Taobao China
Sumber: Facebook

Mungkin mereka yang membeli pelekat ‘P’ ini menyangka ia sama seperti pelekat hijau kuning yang sering dilihat pada kereta-kereta JDM.

Sama seperti pelekat ‘P’, pelekat hijau kuning yang digelar perkataan wakaba atau shoshinsha yang bermaksud pemandu masih dalam tempoh percubaan.

Di Jepun, pelekat ini mesti dilekatkan di bahagian depan dan belakang sebagai bukti menunjukkan bahawa pemandu tersebut baru sahaja lulus lesen memandu kurang daripada tempoh satu tahun.

Tangkap layar yang dimuat naik sejak 29 September itu mendapat perhatian netizen dengan mendapat lebih 490 komen dan 2,900 perkongsian.

Rata-rata netizen terhibur dengan perkara ini dan tidak menyangka pelekat tersebut ‘laku keras’ di laman e-dagang terbabit.

Persoalannya, adakah pembeli-pembeli itu tahu kegunaan sebenar pelekat P terbabit? Harap tidaklah tiba-tiba harga pelekat ‘P’ ini mencanak naik memandangkan ia dijual pada harga yang agak mahal di platform itu.

BACA: Cantik Dan Kemas, Bakat Tulisan Tangan Lelaki Ini Sedarkan Netizen Yang Ia Bukan Pelekat

Sumber: Facebook Takeshi Kaneshiro, Pandu Laju