Kerana Cinta, Puteri Diraja Jepun Tolak Tawaran RM5.17 Juta Untuk Kahwini Orang Biasa 3

Kerana Cinta, Puteri Diraja Jepun Sanggup Tolak Tawaran RM5.17 Juta Untuk Kahwini Orang Biasa

Demi cinta, anak Putera Mahkota Jepun, Putera Akishino iaitu Puteri Diraja Jepun, Puteri Mako, 29 tahun bukan sahaja sanggup menolak bayaran $1.3 juta (RM5.17 juta) yang ditawarkan kepadanya tetapi juga sanggup melangsungkan perkahwinan tanpa majlis besar-besaran.

Beliau yang juga merupakan anak saudara Maharaja Jepun, Maharaja Naruhito bakal menamatkan zaman bujangnya bersama tunangannya yang daripada kalangan orang biasa, Kei Komuro, 29 tahun pada 26 Oktober ini.

Puteri Mako
Sumber: Page Six

Keduanya kemudian dilaporkan akan berhijrah ke Amerika Syarikat, di mana Komuro akan meneruskan kerjayanya sebagai peguam.

Ini adalah pengumuman rasmi pertama bahawa mereka akan meneruskan pernikahan yang telah ditangguhkan bertahun-tahun kerana skandal kewangan yang melibatkan ibu Komuro.

BACA: Tapak Istana Lama Di Singapura Milik Kerabat Diraja Malaysia Mungkin Dibangun Untuk Projek Rumah Mewah

Puteri Mako pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau dan tunangannya adalah orang biasa yang tidak boleh digantikan antara satu sama lain dan perkahwinan adalah pilihan yang diperlukan untuk kehidupan mereka.

Keputusan Puteri Diraja Jepun yang enggan menerima bayaran itu adalah kerana beliau mahu membawa haluannya sendiri.

Menurut media Jepun, ahli perempuan keluarga diraja yang berkahwin dengan orang biasa akan dikeluarkan namanya daripada senarai ahli keluarga diraja.

Kerana Cinta, Puteri Diraja Jepun Tolak Tawaran RM5.17 Juta Untuk Kahwini Orang Biasa 1

Berbeza dengan anak lelaki diraja, sekiranya anak perempuan diraja mahu terus kekal sebagai puteri diraja, mereka perlu berkahwin dengan lelaki daripada golongan bangsawan berdarah diraja.

Manakala jika anak lelaki diraja iaitu putera raja berkahwin dengan orang biasa, secara automatik isteri mereka akan menjadi ahli kerabat diraja.

Puteri Mako bersama keluarganya.
Sumber: Japan Times

Disebabkan tradisi inilah, keluarga diraja Jepun hanya memiliki 18 orang ahli jika mahu dibandingkan dengan keluarga diraja dunia lain.