
“Makin Berdisiplin” – Usaha Majlis Daerah Sediakan Tandas Awam Kucing Raih Pujian Netizen
Usaha Majlis Daerah Sediakan Tandas Awam Kucing Raih Pujian Netizen.
Pengalaman terpaksa berhadapan dengan kucing liar atau kucing jalanan yang sering kencing atau berak merata-merata hingga meninggalkan bau yang busuk pastilah tidak menyenangkan kita.
Bagi mengelakkan situasi tidak enak ini berlaku lagi, Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) telah mewujudkan empat unit tandas awam kucing di Pasar Tasek Raja sebagai usaha untuk melestarikan suasana bersih di kawasan tersebut yang menjadi tumpuan orang ramai membeli barangan dapur dan keperluan harian.
Kewujudan tandas awam menyebabkan kucing-kucing di sekitar kawasan itu tidak lagi membuang najis merata-rata sekali gus menyelesaikan isu kebersihan yang sering diadukan orang ramai kepada MDPM.
Menurut Yang Dipertua MDPM, Hazmi Abdul Hamid, beliau memaklumkan kebanyakan kucing-kucing terbiar di pasar tersebut dilihat sudah selesa menggunakan kemudahan tersebut.

“Malah kucing-kucing itu semakin berdisiplin dan sudah tahu kewujudan tandas berkenaan dan mereka juga tidak lagi membuang najis secara merata-rata sebagaimana sebelum ini,” katanya.
Ujarnya, sebelum tercetusnya idea tandas awam itu, kucing-kucing terbabit kerap mengotorkan kawasan pasar sehingga menyusahkan peniaga selain memburukkan imej pasar di mata pengunjung.
Dalam pada itu, bagi memastikan pengudaraan berada dalam keadaan baik, MDPM akan menyelenggara tandas tersebut setiap hari dengan membuang najis-najis kucing ke lokasi sepatutnya.
Setakat ini terdapat kira-kira 600 ekor kucing yang berada di kawasan tersebut sejak Januari 2021 dan dikesan telah menggunakan tandas awam itu.
Usaha MPDM itu mendapat pujian golongan pencinta haiwan yang rata-ratanya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) di tempat lain mengikut jejak langkah MDPM.
“Wajar dipuji. Buat tempat letak makanan juga, mana-mana pengunjung nak menderma makanan kucing boleh letak disitu.”
“Langkah yang bijak dan terbaik, semoga dicontohi negeri-negeri lain. Cara penyelesaian masalah yang bagus, bukan dengan jalan mudah dengan membuang kucing dan bersifat kejam pada mereka.”
“Tahniah, terbaik. Semalam pergi Pasar Tasik Raja… kucing-kucing ni memang melepas dalam pagar tu…kalau tak sebelum ni bersepah tepi-tepi longkang depan DIY.”
“Harap PBT lain esp di KL dan Selangor tolong ambil contoh MDPM.”
BACA: Nak Fahami Bahasa Kucing? Aplikasi Ini Bantu Anda Ketahui Apa Yang Si Bulus Mahu
Sumber: Utusan
Trending now



