Kematian Adib Akibat Jenayah

Keluarga Terkilan Kes Arwah Adib Ditutup Sementara, Yakin Ada Bukti Baharu Jika Siasatan Diteruskan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Keluarga Terkilan Kes Arwah Adib Ditutup Sementara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, baru-baru ini memaklumkan bahawa kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim ditutup sementara mengejutkan ramai pihak.

Katanya, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib. Kes akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Keputusan itu membuatkan keluarga Allahyarham terkilan dan memusnahkan harapan bagi menuntut pembelaan atas kejadian yang berlaku hampir tiga tahun lepas, menurut Sinar Harian.

Ibu Muhammad Adib, Asma Aziz, 54, berkata, dia terkejut dan sedih apabila dimaklumkan bahawa kes kematian anak lelakinya itu akan ditutup sementara dan hanya akan dibuka apabila terdapat bukti baharu.

Malah, dia tertanya-tanya mengapa kes tersebut ditutup sedangkan individu yang terlibat dengan kematian anaknya itu masih belum ditangkap.

“Mengapa kes anak saya ditutup sementara tanpa dimaklumkan kepada kami terlebih dahulu. Sepatutnya tanyalah pandangan keluarga dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Jikalau mereka tidak mencari pelaku kes ini, siapa lagi yang nak cari. Tak kan saya sendiri yang kena cari.

“Kami berharap agar siasatan kes tidak ditutup walaupun sementara,” katanya.

Ujarnya, mereka sekeluarga juga yakin bukti baharu terhadap kematian anaknya itu akan muncul sekiranya siasatan terus berjalan.

“Cuba letakkan diri di tempat kami, golongan orang biasa. Mereka boleh cakap tutup sementara sahaja, namun pertimbangkanlah hati ibu bapa Adib.”

Kes adib ditutup sementara
Sumber: NST

Persatuan Peguam Muslim Malaysia desak usah ditutup kes walau sementara

Dalam pada itu, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak kerajaan bertegas untuk tidak menutup walaupun sementara terhadap siasatan kes itu.

Presiden PPMM Zainul Rijal Abu Bakar berkata sebarang bukti baru tidak akan datang bergolek, justeru menjadi tugas Polis Diraja Malaysia untuk mencarinya sehingga ke tahap melampaui keraguan yang munasabah.

Tegasnya, kenyataan menutup sementara kes seharusnya tidak dikeluarkan oleh seorang menteri, apatah lagi yang tidak berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang jenayah.

Lebih wajar Peguam Negara atau Ketua Polis Negara yang mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan pendakwaan dan siasatan jenayah dan mendesak pihak berkenaan menyatakan kedudukan terperinci mengenai siasatan tersebut dan tidak hanya berdiam diri.

“Dalam undang-undang jenayah tiada had batasan waktu ditetapkan bagi memulakan prosiding jenayah ke atas mana-mana pihak.”

Untuk bacaan lanjut mengenai kes ini, boleh ke pautan INI dan INI.

Sumber: Sinar Harian, MalaysiaKini