Tanah Istana Johor Di Singapura Dibangun Semula

Tapak Istana Lama Di Singapura Milik Kerabat Diraja Malaysia Mungkin Dibangun Untuk Projek Rumah Mewah

Satu plot tanah di tengah-tengah Singapura dilaporkan bakal dibangunkan menjadi kawasan perumahan mewah bernilai berbilion dolar, menurut media antarabangsa Bloomberg.

Tanah tersebut menempatkan istana lama dipanggil Istana Woodneuk yang juga menjadi ilham bagi latar belakang filem ‘Crazy Rich Asians’ yang dimiliki oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Laporan itu mengatakan bahawa, wakil pihak Tunku Ismail sedang berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk kelulusan membangunkan kluster rumah mewah di sebuah kawasan hutan yang terletak bersebelahan dengan Taman Botani republik itu, yang tersenarai sebagai tapak warisan dunia UNESCO.

Kita sedia maklum harga hartanah di Singapura amat tinggi nilainya. Firma perkhidmatan hartanah antarabangsa Savills Singapore mengatakan anggaran terkini plot tanah itu bernilai antara SGD2.66 bilion (RM8.23 bilion) dan SGD4.5 bilion (RM13.93 bilion).

Tanah Istana Johor Di Singapura Dibangun Semula

Sekiranya tapak tersebut dapat dibangunkan semula, yang juga berhampiran dengan Orchard Road, mungkin akan nenarik minat golongan elit di rantau ini untuk memiliki rumah kedua di Singapura.

Ia mungkin bakal menjadi salah satu projek pembangunan swasta termahal di Singapura dalam tempoh beberapa dekad ini.

Pada ketika ini, kawasan yang belum dibangunkan itu telah dizonkan sebagai “kawasan kegunaan hijau” yang bermaksud bahawa pembangunan untuk tujuan-tujuan lain seperti rumah atau komersial adalah terhad.

Menurut beberapa individu yang dipetik oleh Bloomberg berkata, rundingan tentang cadangan pembangunan itu telah bermula sejak tahun lepas tetapi belum ada keputusan akhir.

30 kali lebih besar daripada Rumah Putih

Plot tanah tersebut memiliki keluasan tanah 30 kali lebih besar daripada Rumah Putih (White House) iaitu seluas 210,875 meter persegi. Dahulunya lebih luas, tetapi secara beransur-ansur berkurangan apabila kerajaan Singapura memperoleh tanah untuk memperluas Taman Botani.

Pada 1990, Singapura membeli sebidang tanah dengan harga SGD25 juta dan ia memperoleh sebidang lagi berukuran 98,000 meter persegi pada 2009 dengan harga yang tidak didedahkan.

Tanah yang menempatkan Istana Woodneuk dibina kerabat diraja Johor pada akhir abad ke-19. Disebabkan istana dua tingkat ini sudah tidak berpenghuni, ia kini dalam keadaan usang.

Sumber: Bloomberg, Mothership.Sg