4 Juta Data Peribadi JPN Bocor Diiklan

4 Juta Data Rakyat Malaysia Dalam JPN Bocor, Diiklan Dengan Harga Sekitar RM35 Ribu

Kes kebocoran data peribadi sering menimbulkan kebimbangan kepada kita. Terbaharu, dilaporkan pangkalan data milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikesan sedang dijual di forum pasaran pangkalan data yang terkenal.

Dilaporkan kira-kira empat juta data peribadi rakyat Malaysia berusia antara 23 dan 43 tahun yang terlibat dalam pengiklanan tersebut.

Ia mengatakan data tersebut hadir daripada JPN yang diperoleh daripada portal rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) yang dibuat untuk myIDENTITY.

Seorang pakar IT di laman Twitter, Adnan Shukor berkongsi sebuah tangkap layar yang menunjukkan penawaran data itu termasuk sejumlah 32GB data dalam 19 fail mengandungi maklumat mereka yang lahir antara 1979 dan 1998 dengan butiran seperti nama penuh, alamt surat-menyurat dan nombor telefon.

Katanya, ia turut mengandungi gambar, butiran kaum, jantina, agama dan nombor kad pengenalan.

Pangkalan data JPN yang dibocorkan itu disertakan dengan tanda harga 0.2 BTC bersamaan dengan harga sekitar RM35,495.

4 Juta Data Peribadi JPN Bocor Diiklan
Sumber: Lowyat.net

Untuk makluman, myIDENTITY mula diperkenalkan di 10 agensi kerajaan melibatkan JPN, LHDN, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jun 2012.

Ia berfungsi sebagai platform perkongsian data nasional melibatkan pelbagai sektor awam bagi memudahkan agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat peribadi seseorang melalui sistem repositori berpusat.

Difahamkan, ia bukan kali pertama penjual tersebut menawarkan jualan data peribadi. Menurut sumber Lowyat.net, penjual yang sama turut pernah meletakkan pangkalan data yang didakwa dikeluarkan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam pada itu, JPN telah mengambil maklum mengenai insiden tersebut dan laporan polis telah dibuat namun enggan memberi sebarang komen buat masa ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Mat Din berkata, beliau tidak menafikan penglibatan orang dalam berhubung insiden pembocoran dan penjualan data tersebut.

Sumber: Sinar Harian, Malaysia Gazette