Bakar Kereta Bentley Sendiri Untuk Langsai Hutang Along

Sanggup Bakar Bentley Milik Sendiri Untut Tuntut Insurans Demi Langsai Hutang ‘Along’

Gara-gara menanggung hutang ‘Along’ mencecah setengah juta, dua lelaki bertindak membakar tiga buah kereta mewah milik mereka untuk membuat tuntutan palsu insurans bernilai RM250,000.

Bagaimanapun, taktik dua rakan itu dapat dihidu pihak polis sebelum diberkas di sekitar Bandar Melaka pada 13 dan 14 September lalu.

Menurut sumber media, polis menerima laporan daripada suspek pertama mendakwa kereta jenis Bentley Continental GT(A) miliknya telah terbakar di Taman Datuk Tamby Chik Karim, Batu Berendam.

Polis kemudian menerima dua lagi laporan daripada individu lain mengenai kejadian kebakaran kereta jenis Ford Fiesta dan Hyundai Accent.

“Bagaimanapun hasil siasatan dijalankan pihak polis mendapati terdapat keraguan sebelum polis menahan kedua-dua suspek.

“Suspek pertama yang juga pemilik kereta Bentley ditahan pada hari kejadian manakala seorang lagi ditahan keesokannya di sekitar Bandaraya Melaka. Kedua-dua mereka berusia 36 tahun,” kata Ketua Polis negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Bahkan hasil siasatan turut mendapati kedua-dua yang ditahan bekerja sebagai kontraktor dan jurujual. Mereka juga dilaporkan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes khianat dengan api, samun dan curi serta dadah.

Bakar Kereta Bentley Sendiri Untuk Langsai Hutang Along
Sumber: Sinar Harian

Difahamkan, kedua-dua lelaki terbabit mendakwa berdepan masalah kewangan dan telah merancang perbuatan itu sejak tiga bulan lalu.

“Mereka dipercayai membakar kereta itu untuk membuat tuntutan insuran berjumlah kira-kira RM250,000 bagi membayar hutang Along sebanyak RM500,000.”

Kedua-dua lelaki itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan selain kertas siasatan juga sudah dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

Polis menyatakan kes sebegini adalah yang pertama membabitkan modus operandi membakar kenderaan sendiri untuk membuat tuntutan insurans.

BACA: Penyewa Bawa Lari Axia Di Selangor, Jual Di Kelantan Dengan Harga RM1,500

Sumber: Harian Metro