Hilton Rancang Bina Hotel Tapak Runtuhan Masjid Uighur China

Hilton Cetus Kemarahan Muslim, Rancang Bina Hotel Di Tapak Runtuhan Masjid Etnik Uighur Di China

Rangkaian hotel Hilton Worldwide (Hilton) dilaporkan melaksanakan rancangan pembinaan hotel di atas bekas tapak runtuhan masjid milik etnik Uighur yang dirobohkan pihak berkuasa China di Wilayah Xinjiang.

Sehubungan itu, sekumpulan organisasi hak asasi manusia membabitkan kira-kira 40 umat Islam di Amerika Syarikat (AS) melancarkan kempen memboikot rangkaian hotel berkenaan.

Bercakap dalam sidang akhbar di hadapan ibu pejabat Hilton di Virginia, Jawatankuasa Hubungan Amerika-Islam (CAIR) berkata, pihaknya sudah melakukan ‘perundingan secara tidak langsung’ dengan kumpulan hotel itu bagi mengemukakan rayuan supaya membatalkan cadangan terbabit.

Hilton Rancang Bina Hotel Tapak Runtuhan Masjid Uighur China

Namun, bekas Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad, berkata cadangan itu langsung tidak dipedulikan, mendorong pertubuhan itu mengumumkan kempen boikot di seluruh dunia terhadap Hilton.

“Saya dan anda semua mempunyai kebebasan untuk memilih ke mana destinasi penginapan atau mengadakan mesyuarat perniagaan mahupun menganjurkan acara seperti majlis perkahwinan.

“Pihak kami menyedari cadangan projek ini sejak awal Jun lalu, gunakan kuasa anda untuk menghantar mesej jelas kepada Hilton,” katanya.

Ogos lalu, Suruhanjaya Kong­res AS membantah penglibatan Hilton dalam pembinaan hotel di tapak masjid yang diruntuhkan oleh pihak berkuasa China di Xinjiang.

BACA: Lagi Pihak Berkuasa Roboh Masjid Di China

Awad berkata, pojek pembinaan hotel itu adalah pelanggaran hak asasi manusia yang menyumbang kepada pemusnahan budaya dan kepercayaan masyarakat Uighur.

Tapak itu adalah lambang kepada kempen kerajaan China yang melakukan pemusnahan agama yang dianuti oleh etnik Uighur dan kawasan kebudayaan serta wilayah yang menjadi saksi pembunuhan beramai-ramai.

China telah melakukan kempen yang panjang terhadap penduduk Uighur yang kebanyakannya beragama Islam dengan memisahkan anak-anak dari keluarga dan menghancurkan lokasi keagamaan dan budaya.

Hilton Rancang Bina Hotel Tapak Runtuhan Masjid Uighur China
Sumber: CNN

Berdasarkan kajian Institut Dasar Strategik Australia, 16,000 masjid di 900 lokasi di Xinjiang dirobohkan sepenuhnya atau sebahagian binaan antara 2017 hingga 2020.

Pihak berkuasa China bertindak merobohkan menara masjid dan pemusnahan itu dapat disaksikan menerusi gambar satelit sejak beberapa tahun lalu hingga sekarang.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia menganggarkan sebanyak sejuta etnik Uighur dan etnik minoriti lain ditempatkan dalam kem untuk dikerahkan bekerja di wilayah berkenaan.

Selama Ramadan April lalu, Reuters meninjau sebagian masjid di sana yang didapati dimusnahkan sepenuhnya termasuk sebahagian binaan lain.

China bagaimanapun menafikan kewujudan kem tersebut dan memaklumkan ia adalah pusat vokasional yang dibina untuk membanteras keganasan.

Sumber: BH