E66E6E6B-C4F1-40C7-A84A-38DDD2734C19

Kisah Di Sebalik Pembinaan Jambatan Malaysia Di Korea Selatan

Tahukah anda, di Korea Selatan adanya sebuah jambatan yang dinamakan sempena dengan negara kita yang tercinta? Ini kisah di sebalik pembinaan jambatan Malaysia di Korea Selatan.

Hanya berjarak satu jam dari bandar Seoul, jambatan ini menjadi bukti kehebatan ekonomi Malaysia satu ketika dahulu yang mana telah membantu ekonomi di Korea Selatan.

Jambatan Malaysia di Korea Selatan
Sumber: Lien Pang Ren

Pada tahun 1965, Malaysia memberikan dana sejumlah RM5,000 sebagai sumbangan pembinaan sebuah jambatan di kawasan Paju, yang mana nilainya hari ini boleh dianggarkan mencecah RM28,000.

Biarpun Korea Selatan kini jauh lebih maju dari Malaysia sama ada daripada segi ekonomi dan infrastruktur, namun jambatan ini tetap menjadi simbol persahabatan yang terjalin antara keduanya.

 

Menerusi satu video yang dikongsikan YouTuber terkenal Korea Selatan, BlimeyBlimey, penduduk tempatan meluahkan rasa bersyukur mereka kerana jambatan tersebut memudahkan kehidupan seharian mereka.

Malaysia di Korea Selatan
Sumber: Lien Pang Ren

Dalam video berkenaan, ada penduduk yang berkongsi momen sebelum jambatan tersebut dibina mereka terpaksa meniti batu sungai untuk ke seberang, dan ini termasuklah anak-anak yang perlu ke sekolah.

Sebagai tanda penghargaan sumbangan Malaysia, jambatan tersebut dinamakan sebagai Jambatan Malaysia yang menjadi simbol hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia-Korea Selatan sejak 23 Februari 1960 lagi.

BACA: Lawatan Bertukar Tragedi, Kisah Di Sebalik Feri Sewol Karam Di Korea Selatan

Menurut Penasihat Menteri Kedutaan Besar Korea Selatan, Lee Kyoung Dock beberapa bahagian di Korea Selatan telah dilanda banjir pada ketika itu.

Hubungan dua buah negara ini semakin berkembang apabila Malaysia melancarkan Dasar Pandang ke Timur pada 1981 dan Dasar Selatan Baru oleh Korea Selatan pada tahun 2017.

Hubungan ini terus berkembang dengan penambahan jumlah pelancong Malaysia di negara berkenaan yang mencecah satu juta orang pada tahun 2019.

Namun, pada 2020 jumlah ini berkurangan susulan daripada penutupan pintu masuk dan keluar negara berikutan wabak COVID-19 yang melanda dunia.

Sumber: The Sun Daily, Blimey