Ketua Antivaksin Hai Shaulian Meninggal Akibat COVID-19

Ketua Aktivis Antivaksin Israel Meninggal Akibat COVID-19, Pengikut Dakwa Kematiannya Diatur

Ketua Aktivis Antivaksin Israel Meninggal Akibat COVID-19, Pengikut Dakwa Kematiannya Diatur.

Seorang lelaki dari Israel yang dikenali sebagai ketua aktivis antivaksin dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19.

Hai Shaulian, 57, sering menganjurkan beberapa siri perhimpunan membantah vaksin, pasport vaksin dan juga pemakaian pelitup muka di negara haram itu meninggal di Pusat Perubatan Wolfson di Holon.

Menurut media tempatan, dia seorang aktivis yang kuat menggesa pengikutnya di media sosial supaya tidak mengambil vaksin.

Dia dalam hantaran di media sosial berkata, “Wabak itu tiada – vaksin itu tidak perlu dan berbahaya.”

Shaulian yang menganjurkan demonstrasi ‘anti-Green Pass’ di Baitulmaqdis kira-kira dua minggu lalu kemudiannya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah pada keesokan harinya.

Ketua Antivaksin Hai Shaulian Meninggal Akibat COVID-19

Tidak lama kemudian, dia mula berasa tidak sihat dan setelah dibawa ke hospital, Shaulian disahkan positif jangkitan COVID-19.

Apabila dimasukkan ke hospital, dia sempat memuat naik video ke media sosial menceritakan kondisinya.

“Saya disambungkan ke mesin oksigen. Tanpanya saya sesak nafas. Sekiranya saya mencabutnya dan berjalan sejauh tiga meter – saya pengsan. Saya batuk kuat dan selalu rasa sesak nafas,” katanya.

Dakwa polis cuba meracuninya

Dalam video tersebut juga, Shaulian mengadu mengenai layanan yang diterimanya di balai polis di mana dia ditangkap, dengan mengatakan bahawa anggota polis meletakkan kaki mereka di lehernya, dan mendakwa bahawa polis Jerusalem cuba meracuninya.

“Saya tidak pernah merasakan ini sepanjang hidup saya. Sepanjang minggu saya bergelut seolah-olah tidak ada yang berlaku, tetapi hari ini saya tidak dapat lagi bernafas dan pergi ke HMO dan dari sana saya dipindahkan ke Pusat Perubatan Wolfson.

“Sekiranya sesuatu berlaku kepada saya – ketahuilah bahawa ia adalah cubaan pembunuhan,” dakwanya lagi.

Pengikutnya yang mengetahui bahawa Shaulian disahkan meninggal dunia mula mendakwa dia mendapat rawatan sub-par dari kakitangan hospital kerana kepercayaannya.

Malahan, salah seorang daripada mereka mendakwa kematiannya diatur oleh agensi keselamatan domestik Shin Bet dengan kerjasama kakitangan polis dan hospital.

Kisah Shaulian lebih kurang sama dengan kisah lelaki dari California ini.

BACA: Lantang Kutuk Vaksin Di Media Sosial, Lelaki Ini Meninggal Dunia Akibat COVID-19

Sumber: Jerusalem Post