Bahasa Melayu Di Singapura Diajar Dalam Bahasa Inggeris

Pakar Di Singapura Bimbang Masa Hadapan Bahasa Melayu Mungkin Diajar Dalam Bahasa Inggeris

Pembelajaran bahasa Melayu di Singapura mungkin perlu diajar menggunakan bahasa Inggeris dalam tempoh 40 tahun.

Demikian senario yang mungkin berlaku, menurut pakar bahasa, Dr Mohamed Aidil Subhan semasa menyampaikan ceramah dalam Siri Cendekiawan Lestari anjuran Yayasan Warisan Melayu sempena Bulan Bahasa.

Masyarakat di Singapura hidup dalam gelombang bahasa Inggeris yang kini kerap digunakan dalam setiap aspek kehidupan.

Memetik laporan Berita Mediacorp, Dr Mohamed Aidil meluahkan kebimbangan tentang penggunaan bahasa Melayu yang semakin kurang menjadi bahasa utama dalam keluarga-keluarga Melayu di negara republik itu.

Beliau yang merupakan pensyarah Kanan di Institut Pendidikan Nasional Universiti Teknologi Nanyang (NTU-NIE) berkata, pada 1980, lebih 97 peratus keluarga Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rumah, berdasarkan data Banci Penduduk.

Namun begitu, banci tersebut mendapati bilangannya menjunam kepada sekitar 60 peratus pada 2020 iaitu selepas 40 tahun yang mana bahasa Inggeris terus semakin dominan dalam keluarga Melayu.

Bahasa Melayu Di Singapura Diajar Dalam Bahasa Inggeris
Sumber: Berita Mediacorp

“Ketika ini, kita mengajar Bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu.

“Mungkin menjelang 2065, kita perlu mengajar bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa lazim pelajar kerana bahasa Melayu mungkin tidak akan lagi menjadi bahasa lazim pelajar ketika di rumah,” katanya.

Menurut sumber lain, umumnya di Singapura, bahasa Inggeris lebih banyak digunakan oleh golongan muda – baik dalam masyarakat Melayu, Cina mahupun India.

Beliau mengatakan perlu ada perubahan dalam cara mengajar bahasa Melayu. Ibu bapa perlu menggunakan domain di rumah sebagai ruang untuk penggunaan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu Di Singapura Diajar Dalam Bahasa Inggeris
Sumber: Berita Mediacorp

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan, masyarakat perlu faham bahawa bahasa Melayu, juga sudah melalui evolusi yang pesat.

“Masyarakat perlu mengenal pasti perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ibunda, serta bahasa warisan,” katanya.

BACA: Hanya Tinggal Gelaran, Kehidupan Terkini Keturunan Raja Melayu Singapura Terakhir

Sumber: Berita Mediacorp