Pedofil Paling Dikehendaki Dunia Warga Malaysia

14 Tahun Buat Kegiatan Terkutuk, Pedofil Warga Malaysia Paling Dikehendaki Dunia Berjaya Diberkas

Salah seorang pedofil paling dikehendaki di dunia akhirnya berjaya diberkas hasil usaha sama yang dilakukan antara pihak berkuasa Australia dan Malaysia.

14 tahun buat jenayah terkutuk

Alladin Lanim, 40, disabitkan di mahkamah Kuching kerana melakukan serangan seksual ke atas sekurang-kurangnya 34 kanak-kanak berusia dua hingga 16 tahun.

Dia mengaku bersalah terhadap 18 pertuduhan jenayah seks dan dihukum 48 tahun penjara serta 15 sebatan pada 17 Ogos lalu, yang dilihat sebagai kejayaan penting memerangi serangan seksual terhadap mangsa bawah umur, menurut FMT.

Siapa sangka, disebalik pekan kecil Lundu, puluhan kanak-kanak dianiaya oleh seorang penduduk tempatan dengan menyebarkan eksploitasinya di laman dark web, ini menjadikannya salah satu pesalah seks kanak-kanak yang paling dikehendaki oleh penguatkuasa undang-undang.

Pedofil Paling Dikehendaki Dunia Warga Malaysia
Sumber: YouTube

Penjejakan Lanim selama dua tahun dilakukan oleh pegawai penyiasat khas dari Polis Persekutuan Australia (AFP), Polis Queensland serta Pusat Analisis dan Laporan Transaksi Australia (Austrac) sejurus siasatan panjang yang mendapati dia melakukan kegiatan terkutuk selama 14 tahun tanpa dikesan.

Laporan menyatakan dia mencabul kehormatan kanak-kanak di ladang dan di sebuah rumah panjang di pekan kecil itu. Dia telah memaksa mangsa kanak-kanak menonton video berbentuk pornografi selepas membenarkan mereka bermain permainan video di telefon bimbitnya.

Nama Lanim disenarai dalam laporan dalaman polis pelbagai negara pada 2019 dan adalah antara 10 pesalah utama dikehendaki di dunia kerana eksploitasi terhadap kanak-kanak di internet.

Pedofil Paling Dikehendaki Dunia Warga Malaysia
Sumber: The Star

Namun, Lanim sebenarnya sudah berkongsi bahan pencabulan kanak-kanak di laman web sejak 2007 dan selanjutnya dikaitkan dengan penyebaran lebih 1,000 imej dan video memaparkan pencabulan terhadap kanak-kanak.

Menurut Detektif Daniel Burnicle yang juga pemangku pegawai kanan AFP di Kuala Lumpur, penangkapan Lanim amat dikehendaki memandangkan dia seorang penjenayah yang sangat aktif mencari mangsa.

Pada awalnya, penjejakannya begitu sulit kerana polis tidak mempunyai banyak maklumat membabitkan Lanim namun pada Ogos tahun lalu, pakar unit pencarian identiti Austrac akhirnya berjaya menjejak identiti sebenarnya.

Dengan kerjasama pihak berkuasa Australia, Lanim berjaya ditangkap PDRM pada 5 Julai lalu di pusat kuarantin COVID-19 di Sarawak. Ketika itu, Lanim baru sahaja selesai menjalani pengasingan mandatori setelah tiba dari Semenanjung Malaysia.

Pihak penyiasatan berjaya mengenal pasti sekurang-kurangnya 34 mangsa serangan seksual Lanim, namun dipercayai jumlah mangsanya mungkin lebih tinggi.

BACA juga: Pedofil Cabul 200 Kanak-Kanak Malaysia, Richard Huckle Mati Ditikam Dalam Penjara

Sumber: FMT