Ditinggal Ibu Sejak Usia 4 Tahun, Kisah Kejayaan Wei Lun Jadi Inspirasi Rakyat Malaysia 2

Ditinggal Ibu Sejak Usia 4 Tahun, Kisah Kejayaan Wei Lun Jadi Inspirasi Rakyat Malaysia

Ditinggal ibu sejak usia empat tahun, kisah kejayaan Wei Lun jadi inspirasi rakyat Malaysia.

Secara rasminya, 5 September lalu temasya Paralimpik Tokyo 2020 ditutup meriah dengan Malaysia membawa pulang tiga emas dan dua perak.

Ini menjadikan ia sebagai pencapaian terbaik negara sejak menyertai edisi pertama temasa pada tahun 1972 di Heidelberg, Jerman dan mengatasi pencapaian Rio 2016 yang mana kontinjen  Malaysia membawa pulang tiga emas dan satu gangsa.

Selain daripada kisah pembatalan pingat emas milik atlet lontar peluru, Ziyad Zokefli dan kisah kejayaan berturut atlet angkat berat, Bonnie Bunyau, ada satu lagi kisah inspirasi yang menarik perhatian rakyat Malaysia.

Iaitu kisah atlet boccia, Chew Wei Lun , 26 tahun yang menyumbang pingat emas dalam temasya berkenaan yang dikongsikan di Facebook Kuala Lumpur 2017.

Empat tahun lalu semasa Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, Wei Lun pernah bercerita mengenai kisah hidupnya.

Ditinggal Ibu Sejak Usia 4 Tahun, Kisah Kejayaan Wei Lun Jadi Inspirasi Rakyat Malaysia 3
Sumber: MSN

Dalam temu bual berkenaan, Wei Lun mendedahkan beliau sudah hidup berdikari sejak kecil dan pernah mengambil cuti tiga bulan tanpa gaji kerana minat yang mendalam terhadap sukan boccia.

Semasa usianya empat tahun, beliau ditinggalkan ibunya dan dijaga atuknya. Di usia sembilan tahun, Wei Lun dihantar ke rumah orang-orang cacat.

Mengakui tidak mudah membesar dalam suasana begitu, namun Wei Lun beritahu banyak perkara yang beliau belajar antaranya bermain boccia.

“Tapi, saya memang suka main Boccia. Cikgu kat sekolah yang ajar saya cara nak main Boccia.

Dah minat sangat sampai saya ambik cuti 3 bulan tanpa gaji supaya dapat bertanding kat temasya ni dan banggakan negara saya.

Saya tetap sukakan kerja saya dan saya sentiasa nak gembirakan diri sendiri jugak.

Saya ada kerja, gaji tetap dan boleh buat apa yang saya suka lakukan. Apa lagi yang saya nak?

Memang susah sikit nak seimbangkan kerja dengan Boccia tapi dapat wakil negara memang berbaloi.”

Susulan kejayaannya, Wei Lun yang menduduki ranking ke-11 dunia bakal diberikan imbuhan sebanyak RM300,000 dan pencen RM3,000 sebulan di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) selain daripada imbuhan tambahan bernilai RM50,000 daripada pihak FWD Takaful Berhad.