Wanita Bersalin Sendirian Di Hospital JKNJ

Wanita Bersalin Sendirian Di Hospital, Penjelasan JKNJ Buat Netizen Tidak Puas Hati

Tular di media sosial sejak Selasa mengenai dakwaan seorang wanita yang terpaksa melahirkan anak seorang diri di bilik pengasingan khas bagi ibu hamil yang positif COVID-19, selepas panggilannya untuk meminta bantuan kakitangan hospital tidak dilayan.

Menurut wanita yang memuat naik hantaran pada 31 Julai, dia diuji positif COVID-19 ketika menunggu untuk melahirkan bayinya bilik bersalin di hospital sekitar jam 4.40 petang.

Berdasarkan keputusan ujiannya itu, wanita tersebut berkata bahawa dia tidak dibenarkan bersalin secara normal dan dibawa ke bilik khas untuk pesakit koronavirus, serta ditinggalkan keseorangan.

“Lebih kurang 6 petang perut mula rasa sakit sikit. Cuba mengiringkan badan. Masa ini ada darah keluar boleh tahan banyak.

“Mula ingatkan terkencing sebab rasa nak berak. Rupanya darah yang keluar. Pada 6.03 petang rasa memulas sangat perut. Cuba panggil jururawat dan doktor sekali lagi. Tapi, hampa dia orang tak layan,” katanya dalam Facebook.

Dia ketika itu menyerahkan takdirnya kepada Allah dan berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk keselamatan bayinya.

Dalam detik sukar yang dihadapinya, dia selamat melahirkan anak tanpa bantuan doktor dan jururawat.

“Hampir terjatuh bayi dari katil sebab katil jenis tilam terasing. Syukur saya tahan bayi guna kedua-dua belah kaki saya sendiri dan bayi berpaut pada kaki saya.

“Hampir 10 minit menjerit menggunakan sisa-sisa tenaga yang ada saya panggil jururawat dan doktor. Tapi, hampa saya dengar jelas suara-suara mereka sedang ketawa di luar,” katanya.

Selepas itu, datang seorang jururawat untuk memeriksanya setelah dia menjerit untuk memberitahu mereka bahawa dia telah berjaya melahirkan anak.

Berdasarkan foto yang dikongsi bersama catatannya itu, kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 23 Julai di Hospital Sultan Ismail di Johor.

Wanita Bersalin Sendirian Di Hospital JKNJ

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menyatakan secara keseluruhan aduan wanita itu berasas dan pihak mereka akan mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan.

Menurut kenyataan tersebut, proses bersalin pesakit berlaku di luar jangkaan yang mana ia berlaku lebih awal daripada tempoh jangkaan bersalin yang dianggarkan enam jam selepas pemeriksaan.

Bagaimanapun, penjelasan JKNJ mengenai dakwaan wanita itu mendengar bunyi ketawa kakitangan hospital di luar bilik isolasi berkemungkinan adalah daripada bunyi bising di bilik bersalin berhampiran yang sedang melakukan prosedur kelahiran bayi secara ‘vakum’, membangkitkan rasa tidak puas hati netizen.

“Sepanjang lebih 30 tahun hidup ni tak pernah lagi dengar orang gelak bunyi macam vakum.”

“Kenapa la buat org macam tu, tak akan pula pesakit sengaja ada-adakan cerita dengar suara orang ketawa.”

Orang ramai yang turut bersimpati dengan nasib wanita tersebut meminta penjelasan lebih terperinci daripada pihak JKNJ.

Dalam pada itu, ada juga yang berkongsi meluahkan pengalaman mengecewakan di hospital dan mahu pihak kakitangan hospital mengambil iktibar membuat penambahbaikan.

BACA: Petugas Hospital Kantoi Ponteng Kerja Selama 15 Tahun Tapi Gaji Tetap Jalan