Ajaran ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ Giat Sebar Fahaman Menerusi Platform Media Sosial 3

Ajaran ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ Giat Sebar Fahaman Menerusi Platform Media Sosial

Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir giat sebar fahaman menerusi platform media sosial.

Beberapa hari ini, tular beberapa video seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Sittah Annur yang dikaitkan dengan usaha mengembangkan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

BACA: Wujud Ajaran Ayah Pin Versi Baharu, Didakwa Bertapak Di Lembah Klang

Beliau mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga yang mana akan bermula di Sabah semakin giat menyebar pelbagai dakwaan dan ramalan pelik menerusi platform media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram.

Ajaran ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ Giat Sebar Fahaman Menerusi Platform Media Sosial 1

Selain daripada dakwaan berkenaan, Sittah Annur juga mendakwa dirinya:

  1. beryaqazah (bertemu dalam keadaan jaga) dengan malaikat dan Nabi Muhammad SAW
  2. merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku
  3. memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh

Satu sumber keselamatan mendedahkan, kumpulan yang dipimpin wanita berusia 39 tahun ini setakat ini sudah mewujudkan 22 buah kumpulan di Telegram dan diikuti melebihi 3,000 pengikut yang mana jumlahnya bertambah setiap hari.

Yang membimbangkan kumpulan ini bukan sahaja diikuti orang kebanyakan sebaliknya juga golongan profesional seperti doktor, jurutera, pensyarah, guru, pesara kerajaan, malah anggota polis dan tentera yang paling dikhuatiri kerana memiliki kemahiran menggunakan senjata api.

Ajaran ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ Giat Sebar Fahaman Menerusi Platform Media Sosial 2
Sumber: Harian Metro

Sumber keselamatan menerusi Harian Metro itu turut mendedahkan bahawa wanita tersebut sudah pun menyenaraikan lokasi berlindung, berkumpul sebelum bergerak untuk mencari Imam Mahdi buat anggotanya dari Malaysia dan Nusantara termasuk Indonesia dan Brunei  apabila peperangan tercetus.

Antara negeri yang tersenarai sebagai kubu pertahanan mereka ialah Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Media Harian Metro juga mendedahkan bagi meyakinkan pengikutnya, Sittah Annur menamakan beberapa pemimpin dunia dan tokoh agama sebagai khalifah kepada ajaran biarpun sumber keselamatan percaya semua tokoh berkenaan tiada kaitan dengan ajarannya.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu ulasannya mendakwa dakwaan wanita berkenaan dilihat mengarut dan khurafat.

Biarpun mimpi dalam Islam sememangnya diiktraf menerusi beberapa dalil, namun ia hanya membabitkan orang soleh dan bukannya dakwaan seperti yang dilakukan oleh Sittah Annur.

“Mereka (pengikut kumpulan PMYT) ini bergantung kepada mimpi wanita berkenaan yang membuat pelbagai ramalan terutama membabitkan kiamat.

Ada dalam kalangan pengikut mereka yang sudah menjual rumah, membina rumah di dalam hutan, korek tanah untuk jadikan kubu dan bermacam lagi termasuk untuk memulakan perjalanan ke Syam bersama dengan Imam Mahdi.”

Susulan daripada itu, bimbang dengan ancaman keselamatan yang ditimbulkan ajaran berkenaan, tiga badan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis di IPD Dang Wangi memandangkan wujud elemen seruan berperang yang dibawa pengasasnya.