
Wanita Palestin Sarat Hamil Terpaksa Bertarung Nyawa Sendirian Di Penjara Israel
Wanita Palestin Sarat Hamil Terpaksa Bertarung Nyawa Sendirian Di Penjara Israel.
Berlegar di internet nama seorang wanita Palestin, Anhar Al-Deek yang menjadi tahanan di Israel kini menderita sarat hamil sembilan bulan dan dijangka melahirkan bayi keduanya di dalam penjara.
Keluarga wanita itu membuat rayuan kepada badan antarabangsa supaya masuk campur bagi membolehkan Anhar, ibu muda berusia 25 tahun ini melahirkan anak di luar penjara.
Wanita yang berasal dari pekan Kafr Ni’ma, barat Ramallah itu mengirimkan sepucuk surat kepada suaminya supaya badan hak asasi manusia dapat mengambil tindakan terhadap tindakan pemenjaraannya.
Dia mengadu bahawa dirinya amat tertekan di tambah lagi berada dalam situasi sekelilingnya yang serba daif.
“Apa yang boleh saya buat jika melahirkan bayi ini tanpa kamu (suami) di sisi, dan dalam keadaan bergari?
“Tangan saya bergari dan anda tahu kesukaran melahirkan anak dengan kaedah pembedahan caesarean di luar penjara. Bagaimana saya perlu lalui peristiwa ini sedangkan saya berseorangan di dalam penjara,” luahnya.
“Saya penat dengan kesakitan yang dialami. Saya sakit di bahagian pinggul dan kaki. Saya tidak tahu apa langkah seterusnya selepas pembedahan itu. Bagaimana tidur saya selepas ini, lebih-lebih lagi ketika petugas penjara memegang lengan saya dengan jijik?
“Bagaimana saya boleh lindungi bayi itu nanti daripada mereka (petugas penjara) yang menakutkan?
“Saya rayu semua orang untuk bertindak, walaupun dengan sepatah perkataan!”
Menurut ibu Anhar, anak sulungnya sering memanggil wanita lain sebagai ibu sepanjang ketiadaannya kerana terlalu rindu.
Israel tidak membenarkan mereka bertemu, bahkan suaminya hanya dibenarkan sekali melawat isterinya sepanjang berada dalam penjara.
Anhar hanya dapat mendengar suara anaknya melalui rakaman yang dihantar keluarganya ke stesen radio.
Penderitaan yang dialami wanita ini mendapat perhatian netizen di seluruh dunia dengan tanda pagar #SaveAnhar.
Anhar tidak pernah dibicarakan sejak ditahan pada 8 Mac lalu atas sebab yang tidak munasabah. Dia didakwa cuba melakukan serangan tikaman di sebuah penempatan Israel yang dibina berhampiran bandar yang didiaminya.
Pejuang hak asasi manusia giat berkempen mendesak pembebasan Anhar segera bagi membolehkannya menjalani prosedur kelahiran dengan selamat.
Suasana tunjuk perasaan di hadapan Penjara Damoon untuk menuntut pembebasan tahanan Anhar al-Deek sebelum beliau melahirkan anaknya.
Sumber: Quds News Network pic.twitter.com/HIKgXNj1xv
— Nu'man نعمان 🇲🇾🇵🇸 (@numanmazlan) August 30, 2021
BACA juga: Mariam Afifi, Gadis Alfa Yang Tetap Senyum Saat Ditahan & Dipukul Tentera Israel
Trending now



