Jururawat Muslim Singapura Pakai Tudung

Jururawat Muslim Di Singapura Kini Dibenarkan Bertudung

Pemerintahan Singapura kini membenarkan jururawat Muslim dalam sektor kesihatan awam untuk memakai tudung dengan seragam mereka, jika mereka mahu mulai November ini.

Perkara ini diumumkan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam ucapan di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 29 Ogos.

Beliau mengatakan bahawa pemerintah berusaha untuk melaksanakan penyesuaian itu dengan teliti demi memastikan keharmonian kaum dan agama di Singapura kekal utuh.

Sejak 2014, Hsien Loong mengadakan perbincangan tertutup dengan para pemimpin Melayu Islam dan menjelaskan dasar pemerintah bagi sektor jagaan kesihatan bukan sesuatu yang muktamad dan tidak boleh diubah.

“Kami memantau keadaan. Jika dan apabila kami mengubah pendirian, kami akan memastikan terlebih dahulu bahawa semua orang, Muslim mahupun bukan Muslim memahami dan menerima perubahan itu. Ini kerana, tudung bukan hanya isu melibatkan masyarakat Muslim. Ia adalah isu nasional,” katanya.

Kebenaran tersebut berdasarkan pemerhatian pemerintah sepanjang tempoh tujuh tahun yang mendapati interaksi antara kaum kekal baik di samping rakyat muda Singapura bersikap lebih terbuka menerima perbezaan kaum dan agama.

Jururawat Muslim Singapura Pakai Tudung
Sumber: Berita Mediacorp

“Masyarakat bukan Muslim semakin biasa melihat wanita Muslim memakai tudung. Wanita Muslim yang memakai tudung juga secara amnya selesa berinteraksi secara sosial dengan lelaki dan wanita bukan Muslim dalam kebanyakan keadaan,” kata Hsien Loong.

Di Singapura, jururawat Muslim tidak dibenarkan mengenakan tudung ketika bertugas atas faktor kawalan jangkitan.

Isu berkenaan dibangkitkan awal tahun ini oleh Ahli Parlimen Faisal Manap yang meminta kerajaan mengkaji untuk membenarkan pemakaian tudung dalam kalangan jururawat Muslim.

Difahamkan, perubahan ini hanya melibatkan kakitangan hospital awam sahaja. Bagi institusi pendidikan, semua pelajar harus memakai pakaian seragam yang telah ditetapkan tanpa mengira latar belakang sosial, bangsa, dan agama.

Mereka lebih menekankan persamaan dan mengurangkan perbezaan diawal pembelajaran lagi untuk membentuk sikap rakyatnya sepanjang hayat.

Begitu juga dengan perkhidmatan lain seperti Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Home Team dan pasukan beruniform lain yang mana status quo perlu dikekalkan atas faktor mereka adalah komponen penting buat negara yang dibina atas dasar tidak berat sebelah, bersenjata dan sebagai penegak undang-undang.

BACA juga: Kanak-Kanak Lelaki Ini Menangis Saat Ibunya Diminta Untuk Tanggalkan Tudung Di Parlimen Perancis

Sumber: Berita Mediacorp.sg