
Lembah Klang Mahu Perkenal Aplikasi ‘Geofencing’ Untuk Pantau Pergerakan Pesakit COVID-19
Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) mengumumkan mereka akan memperkenalkan sebuah aplikasi geofencing khas yang bertujuan memudahkan pemantauan pergerakan pesakit COVID-19 yang menjalani kuarantin di rumah.
Aplikasi yang belum diberi nama itu dikhaskan untuk memantau pergerakan pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 dan diwajibkan untuk memuat naik aplikasi berkenaan di telefon pintar dan keberadaan mereka sepanjang tempoh itu akan dipantau pihak berkuasa.
Langkah ini dijangka akan mengurangkan penularan komuniti yang biasanya terjadi disebabkan tiada sikap tanggungjawab beberapa pesakit COVID-19.
Dengan aplikasi ini juga, pihak berkuasa akan mengambil langkah segera sekiranya pesakit didapati keluar dari rumah, atau melebihi radius yang ditetapkan.
Menjangkakan orang ramai mempersoalkan keperluan menambah aplikasi baharu sedangkan sudah ada MySejahtera, Komander Bersama GKV STF, Brigedier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen berkata ia diperlukan kerana alamat di MySejahtera ada kalanya bukan di lokasi individu itu melakukan kuarantin.
Aplikasi geofencing berdepan isu data perlindungan peribadi
Bagaimanapun, pakar teknologi yang enggan mendedahkan identitinya berkata aplikasi tersebut berkemungkinan berdepan masalah perlindungan data peribadi.
Katanya, aplikasi seumpama itu sudah lama wujud dan dibangunkan pelbagai pihak, namun tidak boleh digunakan disebabkan faktor privasi.
Ia lebih merumitkan apabila Google Play dan Apple App Store turut melarang kewujudan aplikasi sedemikian untuk dimuat turun oleh pengguna telefon pintar.
“Kemungkinan sistem yang dibangunkan tidak memerlukan Google Playstore dan Apple Appstore kerana ada syarikat luar negara tidak mengadaptasi sistem Apple-Google dalam aplikasi mereka.
Kebanyakan pengguna telefon pintar di negara ini bergantung kepada dua penyedia sistem aplikasi tersebut.
Seperti di China, mereka menggunakan perisian tambahan pada aplikasi WeChat dan AliPay yang sememangnya popular di sana, setiap penduduk diberikan kod warna QR bagi membezakan apa yang mereka boleh dan tidak boleh lakukan berdasarkan kaji selidik kesihatan yang dilakukan terlebih dahulu.
Warna hijau membolehkan mereka bergerak bebas dan diterima masuk ke hampir semua tempat, termasuk tempat kerja, sekatan jalan raya, hotel, dan restoran.
Warna jingga atau merah pula bermaksud individu itu berisiko dan mungkin dihalang masuk. Dan seperti biasa, individu itu akan diminta menjalani kuarantin dari tujuh hingga 14 hari.
Kod warna itu akan bertukar mengikut keadaan semasa. Sebagai contoh, jika anda pernah berada di lokasi di mana seseorang individu dengan kod warna merah dikesan, secara automatik kod warna anda akan berubah kepada jingga dan anda perlu menjalani proses kuarantin.
Aplikasi geofencing guna GPS jejak pengguna
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali pula menjelaskan, aplikasi geofencing akan menggunakan pengesanan GPS (global positioning system) untuk mengesan koordinat pengguna dan ia akan disimpan serta dihantar ke pangkalan data atau ‘awan’.
“Biasanya aplikasi ini akan merakamkan jika terdapat perubahan koordinat dalam jarak tertentu dan pihak berkuasa boleh melihat pergerakan koordinat setiap pengguna dari pangkalan data berkenaan,” katanya.
Sekiranya GPS itu sengaja ditutup, sistem boleh mengesannya kerana sistem ditetapkan untuk sentiasa menerima data dari telefon untuk julat masa tertentu.
Aplikasi ini dilaporkan memulakan ujian rintis pada Ahad (22 Ogos) dan dalam tempoh 11 hari, ia akan berfungsi sepenuhya dengan notifikasi dan juga penjejakkan pesakit.
Sumber: BH
Trending now



