Malaysia Terlepas Peluang Kabel Dasar Laut Asia

Malaysia Sekali Lagi Terlepas Peluang Projek Kabel Dasar Laut Di Asia

Pada 16 Ogos 2021, Google dan Facebook mengumumkan rancangan pemasangan kabel internet dasar laut yang menghubungkan Singapura, Jepun, Guam, Filipina, Taiwan dan Indonesia.

Facebook dalam kenyataan berkata, projek dinamakan Apricot akan membabitkan jajaran sepanjang 12 ribu kilometer yang dijangka siap pada 2024.

Kabel ini akan menyediakan kapasiti reka bentuk permulaan lebih 190tbps bagi memenuhi permintaan data serantau yang semakin meningkat.

“Ia akan membekalkan kapasiti tinggi internet yang sangat diperlukan dan mempertingkatkan keupayaan bagi memperluaskan capaian di rantau Asia Pasifik.

“Kabel Apricot adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperluaskan infrastruktur rangkaian global dan mempertingkatkan lagi capaian lebih 3.5 bilion penduduk seluruh dunia yang menggunakan perkhidmatan kami setiap bulan,” katanya.

Malaysia Terlepas Peluang Kabel Dasar Laut Asia

Projek ini juga bagi menyokong kabel Echo dan Bifrost (Malaysia juga tidak terlibat dalam projek ini) yang menampung keperluan terhadap sambungan 4G dan 5G di serantau.

Menurut pandangan SoyaCincau, Malaysia dianggap sekali lagi terlepas peluang projek kabel dasar laut di rantau Asia kerana tidak tersenarai.

“Secara asasnya, pihak luar meminta negara kita mengecualikan cukai dan juga memendekkan masa permohonan permit kemasukan kapal selenggara kabel dasar laut ke dalam perairan negara kita.

“Namun, pihak kerajaan tidak mahu memberikannya dengan alasan sudah ada kemudahan tempatan yang mampu kendalikannya sedangkan ramai pemain industri yang beritahu, kita tiada,” katanya.

Memetik sumber FMT, para pemegang taruh berkata, negara kesuntukan masa untuk mengembalikan pengecualian kabotaj bagi mengelakkan terlepas lebih banyak projek infrastruktur digital.

Ada beberapa faktor menjadikan Malaysia tidak dipandang orang luar sebagai lokasi strategik.

Pengerusi Bursa Internet Malaysia (MyIX) Chiew Kok Hin berkata antara faktornya adalah disebabkan isu kabotaj dan ketidakstabilan politik semasa.

Katanya, negara kini kesuntukan masa kerana kabel ini tidak dibina dengan kerap. Jika negara tidak dapat menarik lebih banyak projek kabel dasar laut yang lebih baik, pusat data tidak akan berkembang pada masa akan datang.

Begitu juga dengan pandangan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Rais Hussin Mohamed Ariff yang mengatakan kehilangan satu lagi projek infrastruktur utama ini adalah ‘perkara yang menyedihkan buat Malaysia’ dan mungkin negara akan terlepas peluang lain pada masa hadapan.