Sukarelawan Bahasa Urdu Bengali Di PPV

Sukarelawan Berbahasa Urdu, Bengali Untuk Mudahkan Proses Pendaftaran Di PPV Raih Pujian Netizen

Sukarelawan Berbahasa Urdu, Bengali Di PPV Raih Pujian Netizen.

Antara perkara yang sering timbul di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) adalah mengenai masalah komunikasi antara warga asing ketika melalui proses pendaftaran yang mengambil masa lama sehingga menyebabkan kesesakan di kaunter pendaftaran.

Namun, tidak dinafikan ada juga usaha dalam kalangan sukarelawan yang sanggup mempelajari bahasa warga asing di sini bagi memudahkan kelancaran di PPV.

Seorang sukarelawan memuat naik sebuah video di laman sosial Twitter, memaparkan dirinya sedang berkomunikasi dengan penerima vaksin warganegara Pakistan dan Bangladesh di PPV Bukit Jalil.

Menerusi video terbabit, Ain Syawani memberitahu usahanya mempelajari bahasa Urdu dan Bengali membantu memudahkan proses pendaftaran di kaunter PPV.

Sukarelawan Bahasa Urdu Bengali Di PPV
Sumber: Twitter

“Saya cuma nak kongsi rakaman video saya bercakap dalam bahasa Bengali dan Urdu. Belajar bahasa mereka membantu mempercepatkan kerja saya. Dan saya suka tengok reaksi mereka bila saya bercakap bahasa mereka. Harap video ini buat anda gembira,” ciapnya.

Tambahnya, dia yang bertugas sebagai sukarelawan di PPV sejak hujung bulan Jun lalu itu turut mempelajari bahasa lain seperti Myanmar, Nepal dan Hindi bagi memudahkan proses pendaftaran.

“Kadang-kadang susah mereka nak faham jadi saya ambil alternatif untuk belajar bahasa mereka, mudahkan kerja dua pihak.

“Setiap kali cakap bahasa Bangladesh, mesti mereka tersenyum dengar saya cakap bahasa mereka. Sekarang target nak belajar bahasa Myanmar pula tapi agak susah. Majoriti tak faham bila kita cakap bahasa Inggeris atau bahasa Melayu,” katanya.

Dia juga memberitahu banyak kali berhadapan dengan sukarelawan yang bercakap kasar terhadap pekerja asing di situ.

Dia turut meminta agar mereka juga perlu dilayani sebaik mungkin walaupun sukar berkomunikasi dengan mereka.

“Tadi ada warga Bangladesh menggigil. Bila tanya kenapa, katanya dia takut kena marah lagi. Janganlah macam tu. Kita jumpa banyak orang sehari, tak akan anda nak tertekan sepanjang hari disebabkan mereka?”

Perkongsian itu mendapat respon positif orang ramai yang rata-ratanya memuji usahanya memudahkan proses vaksinasi bagi warga asing.

BACA: Elak PPV Bersesak Lagi, Cikgu Ini Turun Padang Buat Sendiri Kerja Pematuhan SOP