Datuk Bandar Dikecam Gigit Pingat Atlet

Datuk Bandar Dikecam Selepas Gigit Pingat Emas Atlet Jepun

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Datuk Bandar Dikecam Selepas Gigit Pingat Emas Atlet Jepun.

Selain kebanggaan sesuatu produk keluaran negara diguna secara global, kebanggaan terhadap insan bergelar atlet turut memainkan peranan penting dalam menaikkan nama negara.

Kemenangan yang dibawa atlet pastinya membanggakan rakyat dan peluang ini juga tidak terlepas untuk rakyat meraikan bersama.

Namun, dalam meraikan kejayaan atlet itu haruslah tidak melepasi had. Seorang Datuk Bandar di Jepun baru-baru ini dikecam hebat akibat tindakannya membuka pelitup muka lalu menggigit pingat emas seorang atlet.

Datuk Bandar Nagoya, Takashi Kawamura dikritik di media sosial kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, pengotor dan didakwa tidak menghormati atlet softball, Miu Goto pada satu majlis 4 Ogos lalu.

Pegawai Olimpik memaklumkan pihak penganjur, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akan menanggung keseluruhan kos penukaran pingat Goto yang digigit itu kepada yang baharu.

Datuk Bandar berusia 72 tahun itu kemudian mengemukakan permohonan maaf kerana kelakuannya itu yang menerima 7,000 aduan di bandar berkenaan.

“Saya lupa kedudukan saya sebagai Datuk Bandar Nagoya dan bertindak dengan cara yang sangat tidak sesuai,” katanya.

Beliau turut menawarkan diri untuk menanggung kos mendapatkan pingat baharu milik atlet berkenaan.

Datuk Bandar Dikecam Gigit Pingat Atlet
Sumber: Asahi

Dalam pada itu, beberapa pemenang pingat Olimpik kecewa dan menyifatkan perbuatan Kawamura amat keterlaluan.

“Selain menunjukkan kurang rasa hormat kepada atlet, kelakuannya menggigit itu boleh menyebabkan penyebaran jangkitan. Maaf, saya tidak dapat memahaminya,” kata pemenang pingat perak lawan pedang, Yuki Ota di Twitter.

Malahan, Toyota, pemilik pasukan Goto turut mengutuk tindakan tersebut dengan menyifatnya sebagai tidak wajar.

Perbuatan mengigit pingat adalah kebiasaan yang dilakukan pemilik pingat dalam temasya sukan sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun, Penganjur Tokyo 2020 meminta para atlet agar tidak melakukan perbuatan tersebut pada kejohanan kali ini memandangkan ia diperbuat daripada bahan elektronik yang dikitar semula.

BACA: Diperbuat Daripada Alat Elektronik Kitar Semula, Ini Harga Sebenar Pingat Olimpik 2020

Sumber: Independent