Masomah Ali Zada Pelarian Olimpik

Dihina Di Negara Asal, Atlet Berbasikal Masomah Ali Zada Buktikan Jadi Pelarian Mampu Ke Olimpik

Atlet Berbasikal Masomah Ali Zada Buktikan Jadi Pelarian Mampu Ke Olimpik

Olimpik Tokyo merupakan temasya sukan buat kali kedua yang memperkenalkan Pasukan Pelarian Olimpik (ROT), selepas penampilan sulung di Rio 2016 yang diwakili 29 atlet dari beberapa negara bergolak.

Sebagai info, Pasukan Pelarian Olimpik ditubuhkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebagai simbol harapan untuk pelarian di seluruh dunia yang mana mereka juga mampu mengejar impian dan minat seperti mana penduduk dunia yang lain.

Salah seorang atlet ROT wanita, Masomah Ali Zada teruja membuat penampilan sulungnya di temasya berprestij ini.

Masomah merupakan pelarian Afghanistan mewakili sukan berbasikal bagi acara lebuh raya. Walaupun dia sekadar menamatkan saingan di tempat terakhir dalam acara ujian masa individu wanita, namun keputusan tidak langsung membuatkannya kecewa.

Atlet berusia 25 tahun itu menganggap bertanding di acara sukan ini sudah cukup untuk dianggap sebagai kejayaan buat dirinya yang sudah menempuh pelbagai liku dalam kehidupan.

Masomah Ali Zada Pelarian Olimpik

Tidak diterima hanya kerana minat berbasikal

Kisah hidupnya menjadi inspirasi buat atlet wanita lain yang terpaksa keluar dari negara mereka untuk mengejar impian beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.

Masomah dilahirkan di Afghanistan di dalam sebuah keluarga di mana wanita tidak digalakkan untuk menunggang basikal.

Dia pernah dilempar batu dan diserang secara fizikal di tanah airnya kerana memakai pakaian sukan serta menunggang basikal di tempat awam.

Semasa pihak Taliban mengambil alih tampuk kepimpinan negara itu, keluarganya dibuang ke negara jiran iaitu Iran.

BACA: Berdamai Dengan AS, Wanita Afghanistan Bimbang Jika Taliban Kembali Berkuasa

Mereka diugut oleh komuniti di situ apabila mereka mula berbasikal secara kompetitif yang membuatkan keluarga Masomah terpaksa berpindah ke Perancis pada tahun 2017.

Kegigihan dan minat mendalam dalam sukan berbasikal membuahkan hasil apabila Masomah berjaya mendapat Biasiswa Atlet Pelarian daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sekali gus menjadi batu loncatan di dalam hidupnya untuk mencapai impian dan cita-citanya iaitu bertanding pada temasya sukan Olimpik.

Masomah Ali Zada Pelarian Olimpik

“Saya hendak tunjukkan kepada dunia bahawa golongan wanita juga boleh lakukan apa sahaja yang mereka mahu,” katanya.

Dia juga melihat dirinya sebagai wakil wanita yang tinggal dalam masyarakat yang ditindas dan atlet sukan wanita yang memakai hijab.

“Ia bukan tentang saya seorang, lebih tepat lagi untuk semua wanita di Afghanistan dan seluruh negara seperti Afghanistan yang tidak berpeluang untuk berbasikal.

“Ini juga buat semua pelarian yang terpaksa meninggalkan tanah air.

“Saya mahu membuka jalan kepada pelarian lain yang akan muncul (dalam sukan) selepas saya.” ujarnya.

Sumber: BH, BBC