
Hikmah Terkandas Jalani Latihan Di Melaka, Hidilyn Diaz Sumbang Emas Pertama Filipina
Hidilyn Diaz Sumbang Emas Pertama Filipina di Olimpik.
Atlet angkat berat, Hidilyn Diaz melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama Filipina memenangi pingat emas dalam kategori 55 kilogram (kg) wanita pada temasya Sukan Olimpik 2020.
Kejayaan itu mengatasi pemegang rekod dunia dari China, Liao Qiuyun sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama untuk Filipina selepas menyertai temasya sukan terbesar dunia itu selama 97 tahun.
Kemenangan Diaz mencuri tumpuan bukan sahaja di Filipina tetapi juga di sini. Kisah Diaz pernah mencuri tumpuan apabila dia ‘tersadai’ di Melaka gara-gara pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak awal tahun lalu.
Diaz datang berlatih di Malaysia pada Februari 2020 kerana jurulatihnya berpendapat ia lebih baik untuk dirinya jika mahu memberi tumpuan untuk layak ke Tokyo.
Tetapi dalam beberapa minggu, berlaku sekatan pergerakan akibat COVID-19 yang menyebabkan Diaz berhadapan situasi di mana gimnasium ditutup, tidak ada akses kepada peralatan angkat berat dan tidak pasti sama ada sukan itu dipertandingkan atau tidak.
Selama berbulan-bulan Diaz dan pasukannya dikenali sebagai ‘Team HD’ terperangkap di sebuah blok pangsapuri di ibu kota Kuala Lumpur di mana mereka harus berhati-hati agar tidak memecahkan lantai berjubin ketika berlatih dengan angkat berat.
Dia dan pasukannya melawat Melaka bersama barisan atlet Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan susulan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Diaz tidak dapat kembali ke tempat tinggalnya.
Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila pegawai persatuan angkat berat Malaysia di situ sanggup menawarkannya tempat tinggal dan latihan.
Dia mula menggunakan gimnasium berhampiran tetapi sekatan pergerakan diperketatkan semula sekali gus memaksanya untuk menjalani latihan di tempat letak kereta di rumah berkenaan dengan cabaran cuaca panas.
Kini segala pengorbanannya membuahkan hasil dan dia akan disambut sebagai wira apabila pulang ke Filipina.
“Saya tidak tahu jika saya adalah hero kebangsaan. Tapi saya berterima kasih kepada Tuhan yang memberi kesempatan kepada saya untuk memberikan inspirasi kepada generasi muda dan semua rakyat Filipina untuk terus berjuang ketika pandemik,” katanya.
Sumber: Awani, Stadium Astro
Trending now



