Sarah Gilbert Pencipta AstraZeneca

Tolak Patenkan Vaksin Demi Selamatkan Jutaan Nyawa, Kenali Pencipta AstraZeneca Sarah Gilbert

Kenali Pencipta AstraZeneca Sarah Gilbert.

Ketika ini, negara hanya mampu mengecapi kejayaan dalam membendung wabak COVID-19 melalui program vaksinasi.

Ini berdasarkan kepada pe­ngalaman dan kejayaan dunia dalam membendung beberapa penyakit berbahaya yang pernah melanda seperti virus influenza A (H1N1), virus Nipah dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) walaupun bukan dalam skala besar.

AstraZeneca antara salah satu vaksin yang digunakan secara meluas di seluruh dunia bagi melindungi masyarakat daripada wabak COVID-19 namun tidak banyak publisiti mengenai pasukan yang berjasa di sebalik proses penghasilan vaksin itu.

Baru-baru ini, pencipta vaksin AstraZeneca menjadi sebutan di media sosial selepas tular sebuah video sekumpulan penonton Kejuaraan Tenis Wimbledon di London memberikan tepukan penghargaan secara berdiri kepadanya.

Dimaklumkan, penonton yang diberikan tepukan gemuruh itu adalah pencipta dan kakitangan yang terlibat dalam penghasilan vaksin COVID-19, AstraZeneca-Oxford iaitu Profesor Sarah Gilbert.

Nama Sarah Gilbert menjadi sebutan bukan sahaja berjaya menghasilkan vaksin untuk melindungi masyarakat dunia ketika ini, malah diberi penghormatan atas sesuatu yang lebih mulia, iaitu sifat kemanusiaan.

Kekaguman orang ramai terhadap Profesor Vaksinasi Universiti Oxford ini, beliau melepaskan sesuatu yang menjadi rebutan dalam industri farmasi ketika ini iaitu tidak mematenkan vaksin apalagi untuk mengaut keuntungan atas usaha kerasnya.

“Saya tidak mahu mengambil hak paten penuh kerana mahu membahagikan keuntungan intelektual dan sesiapa pun boleh membuat vaksin mereka sendiri,” katanya.

Keputusan Sarah itu membuatkan harga AstraZeneca jauh lebih murah berbanding vaksin yang lain dan dilesenkan teknologinya kepada pengilang di beberapa buah negara untuk menghasilkan vaksin lebih cepat dan diberikan kepada umat manusia secepat mungkin.

Sarah Gilbert Pencipta AstraZeneca

Berdasarkan laporan BBC, kos penghasilan satu dos vaksin itu hanya AS$4 (RM16) berbanding dengan Moderna atau Pfizer yang menelan kos puluhan dolar Amerika Syarikat.

Walaupun harganya murah namun keberkesanan AstraZeneca cukup tinggi iaitu sehingga 92 peratus termasuk dapat mencegah varian Delta yang dianggap paling berbahaya.

Syarikat AstraZeneca tidak mengambil sebarang keuntungan daripada pembekalan 6.4 juta dos vaksin Covid-19 ke Malaysia.

Kajian baharu menunjukkan suntikan vaksin AstraZeneca memberikan perlindungan kuat yang boleh bertahan seumur hidup.

Dilaporkan, selain menghasilkan antibodi yang mematikan virus, vaksin itu juga mewujudkan ‘kem latihan’ sel-T di dalam tubuh bagi mencari dan memusnahkan, termasuk varian baharu.

Ini bermakna, tubuh boleh terus menghasilkan sel penting dalam tempoh yang lama selepas antibodi berkurangan dan mungkin untuk sepanjang hayat.

Sarah Gilbert bukanlah orang baharu dalam penyelidikan vaksin. Sepanjang kariernya, beliau banyak melibatkan diri dalam menghasilkan pelbagai vaksin yang berbeza termasuk malaria dan MERS.

Penuntut bidang biologi dari Universiti of East Anglia (UEA) dan Universiti Hull ini juga membangunkan Vaccitech iaitu sebuah perusahaan bioteknologi yang mengembangkan vaksin dan imunoterapi untuk pelbagai pernyakit berbahaya seperti kanser, hepatitis B, HPV dan kanser prostat.

Beliau juga sempat memimpin proses uji kaji pertama vaksin Ebola yang pernah menyerang penduduk Afrika pada 2014.

Tindakan Sarah Gilbert ini memberi kesedaran kepada kita bahawa wang bukanlah segalanya tetapi kemanusiaan.

BACA: Pasangan Saintis Muslim Ini Jadi Jutawan Selepas Hasilkan Vaksin BioNTech Pfizer

Sumber: TheStar