Siri TV Turki ‘Sol Yanim’ Curi Tumpuan Di Malaysia, Mungkin Ada Musim Ke-2 2

Siri TV Turki ‘Sol Yanim’ Curi Tumpuan Di Malaysia, Mungkinkah Akan Ada Musim Ke-2?

Mungkinkah akan ada Sol Yanim musim ke-2?

Selepas filem Ayla : The Daughter of War (2017) dan filem-filem lakonan Ozcan Deniz, ada satu lagi filem/siri televisyen dari Turki yang menjadi perhatian di Malaysia iaitu Sol Yanim.

Baru sahaja habis ditayangkan di Turki pada Februari 2021, siri Sol Yanim ini mengisahkan mengenai Serra (lakonan Ozge Yaqiz), seorang pelajar seni bina di Universiti Kuzey, Istanbul.

Siri TV Turki ‘Sol Yanim’ Curi Tumpuan Di Malaysia, Mungkin Ada Musim Ke-2 3

Berperwatakan menarik, matang dan bertanggungjawab, Serra tinggal bersama ibunya, Nilgun (lakonan Esra Bezen Bilgin) di sebuah rumah kecil.

Pernah hidup dalam kekayaan, keluarga Serra bagaimanapun jatuh miskin apabila perniagaan ayahnya diisytiharkan muflis.

BACA: 5 Filem/Drama Terbaik Lakonan Ozcan Deniz, Jejaka Turki ‘Terlaris’ Di Malaysia Ketika Ini

Lebih memburukkan keadaan, ayahnya menghilangkan diri, manakala abangnya membunuh diri. Tidak tahan dengan apa yang berlaku, ibu Serra kemudiannya mengalami tekanan.

Menjadi ketua keluarga, Serra perlu menguruskan ibunya, meneruskan pengajian tetapi dalam masa yang sama perlu bekerja untuk menampung keperluan mereka.

Tidak pernah mengeluh mengenainya, Serra sentiasa tampil positif dan cuba untuk move on dengan kehidupannya kini.

Siri TV Turki ‘Sol Yanim’ Curi Tumpuan Di Malaysia, Mungkin Ada Musim Ke-2 1

Namun, kehidupan Serra tiba-tiba berubah apabila secara tiba-tiba beliau hadir ke kolej dengan menaiki limusin dan bercinta dengan Selim, pelajar popular daripada keluarga berada di universiti sama.

Untuk pengetahuan anda, Sol Yanim sepatutnya memiliki beberapa lagi episod selepas episod 12,  namun ditamatkan secara tiba-tiba disebabkan rating yang diterima tidak seperti yang dijangkakan.

Mengenai sambungan Sol Yanim ke musim ke-2 masih tiada lagi pengumuman rasmi daripada pihak produksi.

Untuk anda yang mencari bahan hiburan ringan, bolehlah memililih siri televisyen Sol Yanim atau dalam Bahasa Inggerisnya membawa makna My Left Side.

Sebelum itu, anda boleh tonton dahulu trailer siri televisyen Sol Yanim yang popular di Malaysia ini di pautan bawah:

Jika anda berminat mahu menonton filem Turki yang pastinya boleh membuatkan anda ‘banjir’, Ayla : The Daughter of War (2017)  adalah pilihan yang paling sesuai.

Berdasarkan kisah benar, filem ini menceritakan mengenai kasih sayang seorang ayah terhadap puterinya biarpun terpisah oleh bahasa, budaya dan agama.

60 tahun mencari, penantian keduanya berakhir apabila dipertemukan di saat Ayla sudah pun bergelar nenek.