Bayi 38 Minggu Jenazah Termuda COVID-19

“Kali Pertama Terima Jenazah COVID-19 Termuda” – Foto Pengebumian Bayi 38 Minggu Ini Buat Netizen Sebak

Foto Pengebumian Bayi 38 Minggu Ini Buat Netizen Sebak.

Perasaan pilu dan menghampakan seluruh rakyat Malaysia semalam (13 Julai) apabila Kementerian Kesihatan melaporkan 11,079 kes COVID-19 yang menjadikan jumlah kes harian tertinggi yang pernah dicatat di negara ini.

Lebih menyayat hati apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memuat naik hantaran beserta foto majlis pengebumian jenazah seorang bayi lelaki yang dinyatakan sebagai korban termuda COVID-19 yang pertama kali mereka menguruskannya sepanjang pandemik.

Pemergiannya dimaklumkan menerusi akaun media sosial JAWI. Jenazah bayi itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhathul Sakinah KL-Karak, Taman Selaseh.

Lebih menyedihkan lagi apabila ibunya dikatakan masih lagi bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) manakala bapanya pula sedang menjalani kuarantin di rumah bersama lapan anak.

Bayi 38 Minggu Jenazah Termuda COVID-19
Sumber: JAWI

“Ya Allah…sayu hati kami di keheningan malam tadi, kali pertama menerima jenazah Covid-19 termuda bayi lelaki berusia 38 minggu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak, Taman Selaseh.

“Difahamkan ibunya kini masih bertarung nyawa di ICU. Bapanya pula bersama lapan lagi anak sedang menjalani kuarantin di rumah. Semoga dikurniakan ketabahan buat seluruh ahli keluarga.

“Insya-Allah, anak kecil ini menanti di syurga, memberikan syafaat buat kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak,” katanya.

Berita itu mengundang rasa pilu dalam kalangan netizen yang meninggalkan banyak komen di hantaran berkenaan dan kebanyakannya mendoakan kesembuhan buat keluarga terbabit.

“Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh arwah ini.”

“Salam takziah, semoga keluarga ini diberi kesembuhan.”

“Kalau begini lah rupanya, baik duduk bersendirian di malam hari. Kesalahan pada rakyat ada bahagiannya, kesalahan pada pemimpin ada bahagiannya. Tenggelamlah kapal, tenggelamkanlah nakhoda bersama. Kemusnahanlah kepada penzalim dikalangan rakyat dan pemimpin.”