Pelajar Universiti Korea Jana Pendapatan Dengan Najis

Pelajar Universiti Di Korea Jana Pendapatan Dengan Najis

Pernahkah anda bayangkan bahawa najis anda boleh dijadikan sumber pendapatan?

Bunyinya agak aneh namun itulah yang berlaku di Ulsan National Institute of Science and Technology (UNIST) d Korea Selatan.

Hanya dengan menggunakan tandas yang disediakan, anda kemudiannya mendapat ‘ganjaran’ yang boleh ditukarkan untuk mendapatkan kopi, pisang atau beberapa barang lain.

Daripada najis manusia, mereka memprosesnya dengan teknologi terkini yang kemudian hasilnya diolah menjadi sumber tenaga termasuk untuk sebuah bangunan.

Pelajar yang menggunakan tandas dalam kajian tersebut pula akan memperoleh mata wang digital universiti itu sendiri iaitu ‘Ggool’ yang kemudiannya boleh ditebus untuk makanan, buku dan sebagainya.

Penyelidikan itu dinamakan ‘Tandas BeeVi’, dicetuskan oleh Cho Jae-Won, seorang profesor di universiti terbabit. Tandas mesra alam ini disambungkan ke makmal yang menukarkan najis menjadi biogas dan baja.

Pelajar Universiti Korea Jana Pendapatan Dengan Najis

Binaan itu menggunakan pam vakum untuk menghantar najis ke tangki bawah tanah sekali gus mengurangkan penggunaan air.

Di makmal tersebut, mikroorganisma memecah sisa menjadi metana, yang menjadi sumber tenaga untuk bangunan, menghidupkan dapur gas, dan sel bahan bakar oksida pepejal.

Setiap penggunaan tandas BeeVi akan memberi kredit kepada pelajar dengan 10 Ggool sehari. Pelajar juga boleh mengambil produk yang mereka mahukan di kedai dan mengimbas kod QR untuk membayar dengan Ggool.

“Jika kita berfikir di luar kotak, najis memiliki nilai berharga untuk membuat tenaga dan baja. Saya telah memasukkan nilai ini ke dalam peredaran ekologi,” kata Cho.

Rata-rata orang membuang air besar sekitar 500 gram sehari yang boleh ditukar menjadi 50 liter gas metana.

Gas ini dapat menghasilkan arus elektrik 0.5kWh atau boleh digunakan untuk memandu kereta sejauh kira-kira 1.2 kilometer.

“Saya pernah berfikir bahawa najis adalah kotor, tetapi sekarang ia adalah harta yang sangat berharga bagi saya,” kata pelajar yang menggunakan tandas mesra alam itu.

Kajian manusia terhadap najis sudah banyak dilakukan, antaranya seperti yang dinyatakan artikel di bawah.

BACA: Ketaksuban China Dengan Najis Panda

BACA: Aneh Tapi Benar, Lelaki Ini Jana Pendapatan Dengan Jual Najis Sendiri Dengan Harga RM1.2 Juta

Sumber: Reuters