Peminat K-pop Thailand Bantu Pemandu Tuk-Tuk

Luar Biasa, Cara Peminat K-Pop Di Thailand Bantu Naikkan Pendapatan Pemandu Tuk-Tuk

Peminat K-Pop Di Thailand Bantu Naikkan Pendapatan Pemandu Tuk-Tuk.

Memasuki tahun kedua kita masih terpaksa hadapi dugaan yang luar dari kebiasaan demi kelangsungan hidup.

Seperti kebanyakan negara, antara sektor yang terjejas disebabkan pandemik ialah sektor pelancongan yang hilang punca pendapatan akibat ketiadaan pelanggan.

Ini kisah yang berlaku di Thailand.

Para pemandu kenderaan ikonik di Bangkok adalah antara yang paling teruk terjejas akibat pandemik.

Ancaman COVID-19 ternyata melumpuhkan industri pelancongan negara itu, hingga menyaksikan jalanan kota semakin sepi dan ramai lagi menderita akibat menanggung hutang.

Peminat K-pop Thailand Bantu Pemandu Tuk-Tuk
Sumber: CNA

Pendapatan pemandu tuk-tuk lenyap apabila pengunjung semakin berkurangan sehingga 85 peratus sejak tahun lalu.

Namun, kini mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup walaupun sekian lama kehilangan penumpang dengan bantuan tidak diduga daripada peminat K-pop di sana.

Pemandu-pemandu ini tidak kenal siapakah idol disebalik poster yang terpampang di tuk-tuk mereka. Tetapi yang pasti, sejak itu mereka meraih sedikit pendapatan walaupun tidak banyak bagi kebanyakan orang.

Ia sejak golongan muda peminat K-pop berhenti membelanjakan iklan meraikan hari lahir dan promosi pelancaran album bintang pujaan mereka dari sumber lain, sebaliknya memberikan nilai itu kepada bisnes yang terjejas seperti pemandu tuk-tuk dan penjaja makanan di jalanan.

Sejak beberapa bulan lalu, anak-anak muda membantu memasang poster dan kain rentang idola K-pop kegemaran mereka di tuk-tuk, dan gambar artis sensasi mereka itu akan bertukar setiap bulan.

Pemandu-pemandu tuk-tuk ini akan membawa kenderaan masing-masing ke sekeliling Bangkok. Mereka akan ditahan anak-anak muda para peminat K-pop tempatan untuk bergambar, berkongsi kandungan promosi atau menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu, berserta pemberian tip tambahan.

Peminat K-pop Thailand Bantu Pemandu Tuk-Tuk

Trend itu bermula sejak protes antikerajaan tahun lalu yang disertai puluhan ribu pelajar yang mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha – yang berkuasa sejak rampasan kuasa tentera.

Ramai peminat K-pop Thailand yang juga golongan penunjuk perasaan, berikrar untuk tidak lagi mengharapkan iklan dari perkhidmatan skytrain atau kereta api bawah tanah – selepas operasi perkhidmatan itu dihentikan bagi menghalang mereka ke lokasi tunjuk perasaan.

Mereka sebaliknya mula mencetak iklan pada vinil atau kadbod dan merekrut pemandu tuk-tuk, iaitu kumpulan yang amat memerlukan. Ia sebagai ekspresi mereka yang menunjukkan tidak menyokong kapitalis.

“Jika dulu kami mahu memasang iklan di stesen kereta api bawah tanah atau di skytrain, tapi sekarang di tuk-tuk,” kata salah seorang peminat K-pop.

Bantuan yang diberikan kerajaan kepada para pemandu sedikit menghampakan dan kebanyakan kaedah penerimaan adalah melalui aplikasi e-dompet.

“Hendak menunggu wang itu sampai, kami sudah nyawa-nyawa ikan,” kata salah seorang pemandu tuk-tuk berusia 54 tahun yang tidak memiliki telefon pintar.

“Golongan peminat ini adalah sistem talian hayat kami sekarang… mereka memberi kami harapan untuk terus berjuang.”

BACA: Kecewa Kerajaan Gagal Kawal COVID-19, Rakyat Thailand Buat Gerakan Ajak Pindah Negara

Sumber: Awani