Bapa Bayi Tertukar 20 Tahun

Bapa Bayi Tertukar Sejak 20 Tahun Jatuh Sakit Selepas Dapat Tahu Keputusan

Kisah tragis bayi tertukar sejak 20 tahun.

Tidak dinafikan, pihak hospital telah memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk setiap pesakit. Namun, ia tidak bermaksud boleh terlepas dari sebarang kejadian yang tidak diingini seperti kes bayi tertukar.

Dua keluarga terpaksa melalui kisah tragis apabila tiga bayi yang dilahirkan 20 tahun lepas, rupa-rupanya tertukar dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.

Kejadian itu hanya disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, ‘kembarnya’ Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, telah dewasa dan disahkan September tahun lepas selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.

Adryani dan kembar seirasnya yang sebenar, Noratirah hanya bersemuka buat kali pertama pada 2019, secara kebetulan di sebuah pasar raya.

Kira-kira setahun kemudian, mereka mula berhubung di media sosial dan mengambil keputusan untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), di mana keputusan menunjukkan mereka 99.99 peratus ialah pasangan kembar.

Jatuh sakit selepas ketahui keputusan DNA anak

Lebih memilukan, bapa yang membela Noratirah selama ini, Husin Omar meninggal dunia pada usia 64 tahun akibat sakit jantung pada November tahun lalu, selepas ujian DNA diketahui pada September 2019 yang mengesahkan dia bukan anak kandungnya.

Kata Noratirah, selepas dimaklumkan keputusan itu, arwah bapa terus menangis dan secara tiba-tiba dia mengadu sakit dada sambil menzahirkan rasa bimbang hendak melepaskannya memandangkan dia adalah anak bongsu daripada 12 beradik yang tidak pernah berpisah dengan keluarga.

Adryani Iwani Ibeni Yanin pula menceritakan ibunya, Siti Aminah terduduk dan hanya mampu menangis apabila mengetahui bahawa Adryana Iwani tertukar dan bukan anak kandungnya.

Menurut Adryani Iwani, sebaik ibunya menerima keputusan DNA berhubung kedudukan ‘kembarnya’ itu pada September, perasaan ibunya tidak tenteram kerana bimbang perkara itu akan mengganggu psikologi ‘anaknya’ itu.

“Selepas terima keputusan, mama terkejut dan panggil saya berjumpa di bilik untuk mengelakkan Ana (panggilan untuk Adryana Iwani) tahu. Mama bagi tau, betullah Ana bukan anak mama dalam keadaan menangis. Dia enggan percaya dengan perkara itu kerana terlalu menyayanginya.

“Ketika itu, saya hanya mampu memujuk mama kerana risau Ana mendengarnya dan mama meminta saya supaya merahsiakan perkara itu daripadanya kerana tidak mahu dia berkecil hati,” katanya.

Sementara itu, Adryana Iwani yang tertukar dalam kejadian itu menzahirkan perasaan sedih kerana hanya sempat mengenali ayah kandungnya (Husin) itu kira-kira dua bulan sebelum meninggal dunia.

Bapa Bayi Tertukar 20 Tahun

“Sudah pasti saya sedih, tahu-tahu kita ada keluarga lain selepas 19 tahun terpisah, lagi sedih saya tak pernah jumpa dan mendapat kebahagian daripada ibu kandung sendiri. Disebabkan salah orang lain, kami yang menanggung derita,” luahnya.

Adryana Iwani mengatakan dia sendiri dapat merasai aura bapa kandungnya selepas kali pertama berjumpa.

Pada kali pertama berjumpa, perasaan saya itu bercampur baur, seronok pun ada dapat jumpa ayah kandung, tapi sedih pun ada sebab takut dia tidak boleh terima baik buruk saya kerana selama ini Noratirah antara anak kesayangannya.

“Tapi saya bersyukur kerana adik-beradik lain layan saya macam adik sendiri dan keluarga pun semakin bertambah besar,” katanya yang sempat menerima cincin daripada ayahnya dan meninggalkan pesan untuk terus hormat kepada keluarga yang membesarkannya terutama ‘ibunya’, Siti Aminah.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan menyiasat secara terperinci berhubung kes berkenaan. Pihaknya akan mencari rekod kelahiran mereka kerana hospital akan menyimpan fail kelahiran dalam tempoh 21 tahun.

Ini pula kisah yang berlaku pada tahun 2007 mana sudah 29 tahun keluarga ini tertukar bayi lelakinya tetapi berlaku pengakhiran yang lebih memilukan.

BACA: Macam Sinetron, Pengakhiran Kisah 29 Tahun Tertukar Bayi Ini Undang Sebak

Sumber: HM