Pencipta McAfee Mati Dalam Penjara

Pencipta Perisian Antivirus McAfee Ditemui Mati Dalam Penjara Selepas Ektradisi Ke AS Lulus

Pencipta perisian antivirus, John McAfee ditemui mati dalam penjara Barcelona, Sepanyol pada Rabu, beberapa hari selepas mahkamah meluluskan ekstaradisinya ke Amerika Syarikat (AS).

Menurut sumber, pencipta perisian antivirus terkenal “McAfee” itu ditemui mati dalam bilik kurungannya di penjara Brians 2 berhampiran Barcelona dipercayai kerana membunuh diri.

Dipenjara atas pelbagai tuduhan

McAfee dipenjara di Sepanyol sejak beliau ditahan di Lapangan Terbang Barcelona pada Oktober tahun lalu, sebelum menaiki penerbangan ke Istanbul.

Beliau didakwa atas kesalahan membabitkan percukaian antara tahun 2014 dan 2018, biarpun memperoleh pendapatan jutaan euro hasil konsultasi, mata wang kripto dan penjualan hak berhubung kisah hidupnya.

McAfee dan pengawal peribadinya Jimmy Gale Watson Jr dituduh mempromosikan mata wang kripto kepada pengikut Twitter McAfee bagi menaikkan harga.

Mata wang berkenaan kemudian dijual, justeru meraih keuntungan bagi kedua-duanya sebanyak AS$13 juta.

McAfee menjadi perhatian dalam dunia kripto pada Julai 2017 apabila meramalkan harga Bitcoin akan mencecah paras AS$500,000 pada 2020.

Dalam kes melibatkan percukaian pula, McAfee dituduh gagal memfailkan penyata cukai dari 2014 hingga 2018.

Dia dikatakan telah menggunakan nama-nama individu lain bagi menyembunyikan aset-aset miliknya, termasuk sebuah kapal layar dan harta lain. Jika didapati bersalah, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Sebelum ini, mahkamah Sepanyol telah meluluskan proses ekstradisi McAfee ke AS namun ruang rayuan masih terbuka dan proses terbabit perlu mendapatkan kelulusan Kabinet Sepanyol.

Dia pernah mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah bersifat politik.

Pencipta McAfee Mati Dalam Penjara

Sebelum menjadi pengasas perisian antivirus

McAfee pernah bekerja untuk NASA, Xerox dan Lockheed Martin sebelum melancarkan perisian antivirus komersial pertama di dunia pada tahun 1987 atas nama McAfee Associates.

Dia menjual syarikat perisiannya kepada Intel pada tahun 2011 dan tidak lagi terlibat dalam perniagaan itu.

Perisian antivirus itu masih menggunakan namanya dan mencatat 500 juta pengguna di seluruh dunia.

McAfee kemudian berkecimpung dalam pelbagai perusahaan dan pernah sempat mengembangkan aplikasi untuk Android.

Walaupun dikenali sebagai pengasas perisian antivirus, McAfee mengakui tidak pernah menggunakan antivirus buatannya dan tiada siapa yang tahu atas alasan tersebut.

Sumber: MarketWatch