page

Lihat Bagaimana Polis Trafik Di Indonesia Ajar Pengguna Jalan Raya Jadi Lebih Berhemah

Di mana-mana negara sekalipun, pasti mengalami masalah tingkah laku di jalan raya. Lihat cara bagaimana polis trafik di Indonesia mengendalikannya.

BACA: India Kuat Kuasa Denda Tulis Karangan Jika Tidak Pakai Topi Keledar

Walaupun undang-undang jalan raya dibuat bagi memastikan keselamatan pengguna semasa menggunakannya, masih ramai yang degil dan ingkar.

Kesannya, ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.

Antara yang paling selalu dilakukan pengguna jalan raya ialah tidak memakai helmet bagi pengguna motosikal, tidak memakai tali keledar, berhenti di garisan lintas pejalan kaki dan makan atau minum sambil memandu.

Lihat Bagaimana Polis Trafik Di Indonesia Ajar Pengguna Jalan Raya Jadi Lebih Berhemah 4

Tahukah anda di Indonesia, bagaimana pegawai polis trafik yang menjaga kamera litar tertutup di lampu isyarat bertindak mengajar pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan yang boleh membahayakan diri mereka dan pengguna jalan raya yang lain?

Lihat Bagaimana Polis Trafik Di Indonesia Ajar Pengguna Jalan Raya Jadi Lebih Berhemah 5
Sumber: Tribun Jateng

1. Polis trafik akan menyebutkan nombor plat kenderaan, jenis kenderaan dan jika perlu warna pakaian mereka.

2. Menyatakan kesalahan mereka dan meminta mereka mematuhi undang-undang jalan raya secara baik. Sebagai contoh, jika tidak memakai helmet, pengguna akan diminta untuk berpatah balik dan mengambil helmet.

3. Memberi peringatan bahawa lampu isyarat merah tidak akan ditukarkan kepada hijau selagi mana pengguna jalan raya tidak mengikut arahan.

Mahu tidak mahu, pengguna jalan raya terpaksa mengikut arahan yang dikeluarkan menerusi pembesar suara yang ada. Jika mereka ‘buat-buat bodoh’, pengguna jalan raya lain akan menegur sehingga yang melakukan kesalahan itu terpaksa akur.

Ada juga pengguna jalan raya yang ditegur makan ais krim di kawasan lampu isyarat. Agak lucu namun itulah ada yang berlaku.

Tindakan menegur secara terus ini memang sangat wajar dilakukan kerana sekurang-kurangnya risiko kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.

Di Malaysia, anda rasa perlu atau tidak sistem sebegini diaplikasikan?

Jika di India, sudah ada undang-undang yang mengenakan denda menulis karangan sekiranya penunggang motosikal didapati bersalah tidak memakai topi keledar.