Pekerja Asing Dalam Lori

Tular Pekerja Asing Bergelang ‘Pink’ Berhimpit Dalam Lori, Pemandu Ditahan

Kejamnya pekerja asing diperlakukan sebegitu rupa. Mereka juga manusia.

Tular di media sosial semalam video yang memaparkan lori membawa sekumpulan yang dipercayai warga asing berhimpit beramai-ramai tanpa diketahui sebab mereka diperlakukan sebegitu.

Melihat video dan gambar tular itu, orang ramai yang bersimpati dan mempersoalkan tindakan pihak bertanggungjawab memperlakukan sebegitu kepada pekerja asing.

Polis kesan lori bawa pekerja asing

Selepas tular video dan gambar berkenaan, pihak polis mendapati lori tersebut membawa sekumpulan pekerja asing yang positif COVID-19 dari sebuah kilang pemprosesan ayam di Sungai Petani.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, seramai 48 pekerja yang baru dipakaikan gelang merah jambu didapati menaiki lori untuk pulang ke asrama penginapan mereka.

IPD Kuala Muda melaporkan terdapat kes positif dikesan di kilang pemprosesan ayam di situ dan 135 pekerjanya diarah ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda bagi dipakaikan gelang merah jambu.

Pekerja Asing Dalam Lori
Sumber: Kosmo

“Dipercayai majikan kilang berkenaan mengatur tiga kali perjalanan lori terbabit untuk membawa semua 135 pekerja yang positif COVID-19,” kata Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah.

Lori yang ditahan polis itu membawa kumpulan terakhir pekerja kilang untuk pulang ke asrama.

Pekerja asing yang positif COVID-19 dengan keadaan tangan bergelang merah jambu diarah kuarantin di asrama.

Manakala pemandu lori tersebut disaman atas kesalahan menggunakan lesen kenderaan memandu (LKM) bagi tujuan lain mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pihak pengurusan kilang turut disiasat Seksyen 22 (b) Akta 342 kerana kesalahan tidak mematuhi perintah dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit berbahaya kepada nyawa.

Melihat situasi semalam, sudah berapa kali kejadian warga asing yang mencari rezeki di Malaysia diperlakukan tidak adil kepada mereka.

BACA: Gaji RM10 Sehari, Warga Asing Dikurung & Diugut Pukul Jika Berani Ambil Lauk

Sumber: Berita Harian