Polis Indonesia Desak Hentikan BTS Meal

Kecoh Ramai Bersesak Dapatkan BTS Meal, Polis Indonesia Desak McDonald’s Hentikan Jualan

Polis Indonesia desak hentikan jualan BTS Meal.

Kelmarin tular insiden orang ramai menyerbu restoran makanan segera McDonald’s bagi mendapatkan menu edisi terhad BTS Meal walaupun pandemik belum lagi surut di Indonesia.

Keadaan itu telah memaksakan sebanyak 20 cawangan McDonald’s di sekitar Jakarta ditutup sementara manakala 34 cawangan lain dipantau oleh anggota keselamatan serta 12 lagi diberikan amaran bertulis.

Wakil Gabenor Daerah Khas Ibu Negeri (DKI) Jakarta, Ahmad Riza Patria berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil memandangkan aktiviti berkumpul beramai-ramai adalah melanggar peraturan kesihatan pencegahan penularan wabak COVID-19.

Pihak pengurusan McDonald’s telah pun memberikan permohonan maaf mereka kepada pihak berkuasa selepas dituntut penjelasan atas kekecohan yang berlaku.

BACA: Bukan Sekadar Hiasan Biasa, Lihat Gaya Kreatif Peminat Abadikan ‘BTS Meal’

Bagaimanapun, permohonan maaf itu masih tidak memuaskan pihak berkuasa dan meminta McDonald’s untuk menghentikan jualan edisi terhad BTS Meal atas dasar keselamatan dan kesihatan.

“Kami mencadangkan (pengurusan McDonald’s) semalam supaya promo BTS Meal dihentikan buat masa ini.

“Jangan sampai terjadi kerumun seperti ini,” kata jurucakap Polis Metro Jakarta.

Polis Indonesia Desak Hentikan BTS Meal

Indonesia merekodkan sebanyak 8,892 kes COVID-19 semalam menjadi angka tertinggi di republik itu sejak 23 Februari. Ia berpunca beberapa kluster pulang beraya yang mengakibatkan angka positif di Jakarta naik.

Walaupun didesak oleh polis untuk menghentikan jualan BTS Meal, McDonald’s Indonesia belum memberi respon terhadap cadangan itu dan mengatakan pihaknya sedang mengaturkan langkah baharu bagi mengelakkan kesesakan seperti itu.

Cumanya, menu tersebut tidak dijual menerusi platform dalam talian menurut Coconuts Jakarta.

Di Indonesia, BTS Meal dijual pada harga 51,000 rupiah (RM14.77) bermula pada Rabu lalu hingga 7 Julai.

Sebelum ini, McDonald’s Indonesia hanya membuka pesanan BTS Meal menerusi platform dalam talian dan pandu lalu bagi mengelakkan pelanggan bersesak di restoran namun perancangan itu dilihat gagal ekoran populariti BTS di negara tersebut.

Sumber: Malay Mail