Apa itu MAGERAN Dr Mahathir

Apa Itu MAGERAN Dan Kenapa Dr Mahathir Cadangkan Kepada Agong?

Apa Itu MAGERAN Dan Kenapa Dr Mahathir Cadangkan Kepada Agong?

Semalam, beberapa pemimpim parti politik datang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara yang mungkin berkaitan dengan keadaan semasa negara.

Dilaporkan, pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) ketika menghadap Agong mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Cadangan itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik COVID-19.

Sebahagian generasi muda Malaysia mungkin tertanya-tanya apakah itu MAGERAN selepas dikemukan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir. Bagi generasi lama, mungkin mengimbau kembali peristiwa silam negara.

Tragedi 13 Mei membawa kepada penubuhan MAGERAN

Apa itu MAGERAN Dr Mahathir

MAGERAN ditubuhkan pada 15 Mei 1969 oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, bertujuan untuk menangani permasalahan yang timbul ekoran tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969.

Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Pengarah MAGERAN dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Tun Dr. Ismail, Tan Sri Ghazali Shafie, Tunku Osman Mohd. Jewa, Tan Sri Mohamad Salleh, Leftenan Dato’ Ibrahim Ismail, Presiden MCA dan Presiden MIC.

Pada waktu itu, MAGERAN berfungsi untuk mengawal ketenteraman, memastikan kelicinan pentadbiran negara dan mengawal keadaan harmoni serta saling mempercayai dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Dua permasalahan utama yang perlu diselesaikan oleh MAGERAN ialah masalah perpaduan kaum dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

Berikutan daripada itu, Majlis Perundingan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara telah ditubuhkan pada tahun 1970.

Beberapa dasar penting telah diwujudkan antaranya Akta Hasutan, Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru yang telah dirangka dan dilancarkan pada Januari 1971 untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat.

Peristiwa ini juga turut tercipta Rukun Negara yang diilhamkan Pengerusi MAGERAN sebagai asas prinsip kenegaraan Malaysia berdasarkan Pancasila di Indonesia.

Apa itu MAGERAN Dr Mahathir

Penubuhan MAGERAN telah memberikan sumbangan yang besar dalam memulihkan perpaduan di kalangan rakyat sehingga kemerdekaan negara dapat dipertahankan hingga kini.

Bersandarkan kejayaan penubuhan MAGERAN ketika itu, Dr Mahathir yakin ia juga mampu menyelesaikan masalah negara ketika ini.

Bagaimanapun, usul penubuhan Majlis itu telah ditolak pembangkang kerajaan seperti Pakatan Harapan dan Amanah kerana mengatakan negara hanya perlu pembukaan kembali sidang Parlimen bagi membincangkan isu berkaitan politik dan COVID-19.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggap cadangan penubuhan Majlis itu hanya untuk mencapai kepentingan individu tertentu.

MAGERAN hanya boleh ditubuhkan jika cadangan itu diusulkan daripada kerajaan.

Sumber: 1, 2, 3