Dikenal Pasti Sebagai Kes Indeks Kluster Matang, Keluarga Disisih Orang Kampung 3

Keluarga Kes Indeks Kluster Matang Terkilan Disisih Orang Kampung

Pada ketika ini, kluster Matang dikenal pasti sebagai kluster terbesar COVID-19 di daerah Hulu Terengganu.

Kes indeks kluster Matang dikenal pasti daripada seorang lelaki yang mendapat kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri bagi memastikan isterinya yang baru sahaja bersalin dapat menjalani tempoh berpantang dengan sempurna.

Beliau dikatakan telah melakukan ujian calitan dan disahkan negatif COVID-19, namun entah bagaimana beliau akhirnya disahkan positif tidak lama kemudian sebelum seorang demi seorang daripada 48 ahli keluarganya termasuk di sebelah isterinya disahkan positif.

Dikenal Pasti Sebagai Kes Indeks Kluster Matang, Keluarga Disisih Orang Kampung 1
Sumber: Harian Metro

Menurut adik ipar beliau yang dikenali sebagai Adli, mungkin ada kesilapan mereka yang cuai dalam pergaulan menyebabkan ramai ahli keluarga dijangkiti. Keluarganya yang disahkan positif terus menerima rawatan di hospital dan menjalani tempoh kuarantin di lokasi yang ditetapkan kerajaan.

BACA: Berdepan Hukuman Penjara 5 Bulan, Pencetus Kluster Sivagangga Juga Bakal Disaman RM1Juta

Namun apa yang menyebabkan mereka terkilan adalah selepas semua ahli keluarganya pulih, penerimaan masyarakat terhadap keluarga mereka masih dingin sehinggakan yang paling menyedihkan apabila salah seorang daripada ahli keluarganya yang ingin membeli barang keperluan di kedai, tiada yang mahu berurusan kerana bimbang dijangkiti.

Akhirnya beliau terpaksa meminta kebenaran pihak berkuasa untuk membeli segala barang keperluan di tempat lain yang agak jauh dari kediaman kerana tidak mahu mencetuskan suasana tidak harmoni di kampung.

Adli bagaimanapun tidak menyalahkan penduduk kampung kerana akur ianya adalah berpunca daripada salah faham berkaitan COVID-19 yang mana mereka tidak akan menjangkiti sesiapa selepas selesai menerima rawatan di hospital.

Pernah terfikir mahu membawa keluarganya berpindah ke tempat lain, Adli bagaimanapun memberitahu mereka tetap tabah dengan ujian ini dan berharap semuanya akan kembali normal selain daripada berpesan kepada semua supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar apa yang berlaku kepada keluarganya tidak dilalui rakyat Malaysia yang lain.

Sumber: Sinar Harian