Peniaga Burger Jual Waktu Pagi

Simpati Nasib Peniaga Malam, Ada Yang Cadang Jual Burger Waktu Pagi Macam Negara Barat

Ubah tradisi, jual burger pada waktu pagi seperti negara Barat.

Hasil jualan merudum, syarikat gulung tikar dan individu hilang pekerjaan semakin meningkat sepanjang tempoh PKP yang bermula pada Mac tahun lalu.

Bagi penjaja makanan dan gerai jualan di tepi jalan khususnya sangat terkesan dengan krisis ekonomi yang berlaku tatkala terpaksa menghentikan operasi perniagaan bagi tempoh masa lama.

Dengan pelaksanaan PKP 3.0 yang berkuat kuasa di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 25 Mei ini, kerajaan telah menetapkan waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

Pengumuman waktu operasi bagi premis makanan itu sekali lagi memberi pelbagai reaksi daripada netizen.

Sebelum ini, pernah diusulkan mengenai tempoh operasi bagi premis makanan yang hanya dibuka sehingga 8 malam. Orang ramai mengadu bagaimana mereka ingin mencari makanan selepas pulang bekerja terutama bagi mereka yang tidak merancang untuk memasak selepas penat bekerja.

Walaupun ada yang bersetuju dengan pelaksanaan berkenaan, nasib peniaga malam tidak boleh dipandang enteng.

Misalnya bagi peniaga burger yang sinonim beroperasi pada waktu malam, walaupun berasa lega sektor perniagaan boleh beroperasi tetapi ia tetap menyebabkan jualan merudum.

Bersimpati dengan nasib peniaga kecil sebegini, ada yang mencadangkan peniaga boleh menukar rutin yang sebelum ini berniaga pada waktu malam kepada waktu pagi atau siang.

Peniaga Burger Jual Waktu Pagi
Sumber: HungryGoWhere

“Boleh menormalkan jual burger di siang hari, sebab kadang-kala orang nak makanan ringan sahaja. Sediakan sekali sides seperti McDonalds’ yang sentiasa penuh apabila waktu makan tengah hari”.

BACA: Sebenarnya McDonald’s Buat Duit Bukan Daripada Rangkaian Restoran Makanan Segera Mereka, Tapi…

“Di tempat saya Kuala Kangsar memang ada jual burger waktu siang. One of the best burger lah. Dia buka dalam 11 pagi hingga 7 malam”.

“Memang selalu berharap ada yang jual burger masa lunch. Jual sekali kentang goreng dan minuman, buat pakej murah”.

“Biar orang Malaysia sarapan pagi dengan burger. Buat style breakfast barat”.

Rata-rata menyokong cadangan buka perniagaan burger tepi jalan ini pada waktu pagi atau tengah hari. Sekali gus mengubah tradisi jualan burger tepi jalan di Malaysia yang hanya pada waktu malam.

“Jual siang pun ada orang beli, percayalah. Bukan nak bandingkan dengan mcD, tapi sebab mindset kita terbiasa burger makan malam”.

Namun, ada yang menampilkan diri sebagai peniaga burger mengatakan sudah cuba beroperasi waktu siang. Pada awalnya, bisnes berjalan dengan lancar namun semakin menurun.

Mungkin, masa yang singkat pada waktu bekerja membuatkan orang kurang membelinya kerana perlu menunggu jika di gerai burger tersebut mempunyai ramai pelanggan pada waktu makan tengah hari.

Bagaimanapun, semua faktor tersebut bergantung kepada situasi semasa. Diharapkan peniaga burger tidak putus asa mencari rezeki halal dalam norma baharu ini.