Tak Boleh Melancong, Tunai Haji, Ke Tempat Kerja Antara Syarat Ketat Terhadap Antivaksin Arab Saudi

Golongan antivaksin Arab Saudi tak dapat hak istimewa.

Dalam pada negara berdepan gelombang baharu COVID-19, juga terpaksa berdepan dengan pelbagai konspirasi dan penyebaran berita palsu daripada golongan antivaksin.

Bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan golongan antivaksin ini wujud dimana-mana negara termasuklah Arab Saudi.

Demi memerangi dan memperbetulkan golongan antivaksin, kerajaan Arab Saudi telah mengetatkan peraturan dengan beberapa larangan tertentu.

Menurut pakar kesihatan Arab Saudi, golongan ini memberi ancaman berbahaya bukan hanya kepada kerajaan tempatan malahan dunia dalam memerangi virus COVID-19.

Justeru, Arab Saudi bertegas dengan menambahkan lagi beberapa larangan dalam usaha meningkatkan jumlah penduduk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Arab Saudi Antivaksin

Antara larangan yang dikenakan ke atas mereka yang enggan mengambil suntikan vaksin adalah tidak boleh mengerjakan ibadah umrah atau haji, sekatan perjalanan ke luar negara dan menyekat akses ke universiti, pusat beli-belah dan premis pekerjaan.

Sehingga kini, kerajaan Arab Saudi hanya mengizinkan jemaah yang divaksinasi atau mereka yang telah pulih dari Covid-19 dalam tempoh enam bulan sebelumnya untuk menunaikan haji beserta umrah sepanjang tahun.

Langkah serupa dijangka berlaku untuk giliran ibadah haji tahunan yang akan menjadi syarat utama bagi umat Islam mengunjungi kota suci di negara itu, menurut sumber rapat kerajaan.

Menerusi arahan terbaharu, individu yang hendak berurusan di institusi atau pejabat kerajaan, swasta dan menggunakan pengangkutan awam di Arab Saudi diwajibkan disuntik vaksin COVID-19.

Arahan berkenaan akan mula berkuat kuasa pada 1 Ogos tahun ini. Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan diterbitkan Saudi Press Agency, orang ramai perlu divaksinasi untuk ‘mengunjungi mana-mana premis kerajaan atau swasta’ serta melakukan aktiviti hiburan atau sukan.

Arab Saudi Antivaksin

Arahan itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan awam di media sosial yang beranggapan ia satu tindakan yang tidak patut dilakukan dan mencabul hak memilih seseorang individu.

“Tidak dapat melancong! Tidak dapat bekerja! Tidak dapat pergi ke tempat awam! Tidak dapat belajar malah tidak dapat membeli makanan!” luah seorang pengguna Twitter.

Berbeza dengan negara Thailand yang mengamalkan Monarki Konstitusional dibawah sistem Raja Berpelembagaan, pihak berkuasa wilayah di Thailand menawarkan pelbagai hadiah daripada perhiasan emas sehingga anak lembu sebagai cabutan bertuah kepada mereka yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

BACA: Langkah-Langkah Untuk Mendaftar Dengan Program Vaksinasi COVID-19 Tanpa Perlu Menggunakan Aplikasi MySejahtera

Sumber: CNA