0

“Makanlah Otak Ayam,” Lelaki Tertua Di Australia Ini Kongsikan Rahsia Dapat Hidup Sihat Sehingga 111 Tahun

Tidak dinyatakan pula apakah jenis masakan yang sesuai untuk memasak otak ayam. Mungkinkah masak merah, black pepper, butter milk, goreng kicap, goreng kunyit, goreng berempah ataupun goreng Kentucky?

Yang pasti, The Associated Press melaporkan di Canberra, Australia, seorang pesara penternak lembu, Dexter Kruger kini menjadi lelaki tertua di Australia dengan umurnya yang berjaya mencecah 111 tahun dan 124 hari, Isnin lalu.

1
Dexter Kruger, lelaki tertua di Australia. (Kredit: The Associated Press – AP)

Sebelum ini, rekod dipegang oleh veteran Perang Dunia Pertama bernama Jack Lockett yang meninggal dunia pada tahun 2002, sehari lebih awal iaitu pada umur 111 tahun dan 123 hari.

Ketika ditanya oleh wartawan Australian Broadcasting Corporation di pusat jagaan orang tua di Roma, Queensland, Kruger mendedahkan menu mingguannya yang berupa otak ayam dipercayai menjadi penyumbang kepada umurnya yang panjang.

Otak ayam. Ayam kan ada kepala. Dalam kepala ayam, ada otak dia. Benda kecil itulah yang sedap,” jelas Kruger.

Sekali masuk mulut je,” tambahnya lagi.

2
“Makanlah otak ayam,” Dexter Kruger. (Kredit: The Associated Press – AP)

Greg, anak lelaki Kruger yang berusia 74 tahun berkata, gaya hidup tenteram bapanya di kawasan pedalaman mungkin juga menjadi faktor usianya yang panjang.

Pengurus pusat jagaan beliau, Melanie Calvert yang kini sedang dalam proses menyiapkan autobiografinya berkata, ketajaman fikiran Kruger memang sangat mengagumkan.

Memori beliau sangat menakjubkan untuk seseorang yang telah mencecah 111 tahun,” ujar Calvert.

Pengasas The Australian Book of Records, John Taylor ketika dihubungi mengesahkan Dexter Kruger kini merupakan lelaki tertua di Australia.

Warga Australia tertua yang pernah direkodkan pula ialah seorang wanita bernama Christina Cook yang meninggal dunia pada tahun 2002, ketika berusia 114 tahun dan 148 hari. Tidak dinyatakan pula otak binatang apakah yang digemari oleh Christina.

Serius lah pakcik. Otak ayam je ke? Pakcik ni mesti saja nak troll wartawan yang banyak sangat tanya soalan merepek. Apa-apapun, semoga pakcik Kruger dapat makan lebih banyak otak ayam untuk cipta rekod baru 3 tahun lagi.

Musykil juga, entah macam manalah rupa sebenar otak ayam. Jangan lepas ni semua pergi pasar cari otak ayam banyak-banyak sudah la, ya? Pasti menu kedai makan pun turut berubah tidak lama lagi.

Sumber: The Associated Press (AP)